KOTA KINABALU: Skuad Antidadah Sabah menyifatkan bantahan terhadap penganjuran Sabah MotoDay di Padang Kawad Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebagai tidak berasas dan boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap usaha memperkasakan golongan belia melalui program komuniti yang bermanfaat.
Ketua Penerangan Skuad Antidadah Sabah, Osman Johari, berkata program berkenaan bukan perkara baharu kerana pernah dianjurkan di lokasi sama sebelum ini tanpa menimbulkan sebarang masalah besar atau menjejaskan kemudahan universiti.Beliau berkata, Sabah MotoDay yang dijadual berlangsung ketika cuti semester hanya menggunakan kawasan Padang Kawad UMS serta tidak membabitkan penyertaan secara langsung pelajar universiti.
"Justeru, dakwaan bahawa program ini mengganggu kehidupan kampus adalah tidak berasas dan keterlaluan.
"Kami memandang serius sikap pihak tertentu yang membantah penganjuran program ini seolah-olah kampus hanya eksklusif untuk kelompok tertentu dan tidak boleh dimanfaatkan oleh masyarakat luar," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Osman berkata, Sabah MotoDay bukan sekadar perhimpunan peminat motosikal, sebaliknya platform yang menghimpunkan golongan belia, komuniti permotoran, usahawan kecil serta masyarakat daripada pelbagai latar belakang dalam suasana positif dan terkawal.
Menurutnya, program itu turut membawa mesej antidadah dengan matlamat memupuk kesedaran serta kebencian terhadap penyalahgunaan dadah dalam kalangan anak muda.
"Program seperti ini perlu dilihat sebagai ruang membina jaringan sosial, memupuk disiplin dalam komuniti permotoran serta mengangkat potensi anak muda Sabah.
"Ia juga menjadi medan untuk mengeratkan hubungan antara komuniti dan masyarakat melalui aktiviti yang tersusun serta bertanggungjawab," katanya.
Beliau turut melahirkan rasa kesal terhadap tindakan segelintir pihak yang didakwa menggunakan nama mahasiswa untuk membantah program rakyat tanpa alasan yang kukuh.
Katanya, suara mahasiswa sepatutnya mencerminkan kematangan intelektual dan berasaskan fakta, bukannya dipengaruhi emosi atau sentimen yang boleh mencetuskan perpecahan dalam masyarakat.
"Kampus bukan sahaja tempat menuntut ilmu, tetapi juga ruang untuk membina masyarakat, memperkukuh perpaduan dan mendekatkan institusi pendidikan dengan rakyat.
"Sabah MotoDay bukan ancaman kepada kampus, sebaliknya peluang untuk membuktikan bahawa UMS mampu menjadi medan pertemuan antara ilmu, komuniti, belia dan masyarakat secara harmoni," katanya.
Beliau berkata, golongan belia permotoran juga sebahagian daripada rakyat Sabah yang berhak diberi ruang untuk berhimpun dan menjalankan aktiviti secara aman selagi mematuhi undang-undang serta peraturan ditetapkan.
"Suara rakyat tidak wajar dibuli atas nama mahasiswa. Semua pihak perlu menghormati hak masyarakat untuk menyertai program yang sah, tertib dan memberi manfaat kepada komuniti," katanya.
