KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mewujudkan kerangka perundangan sektor e-dagang menerusi penggubalan undang-undang baharu bagi melindungi kepentingan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan serta pengguna.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu dilaksanakan ketika sektor e-dagang terus muncul sebagai antara pemacu utama ekonomi negara dengan sumbangan sebanyak RM248.2 bilion atau 13.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada 2023.
Selain itu, jumlah pendapatan sektor berkenaan turut mencatat peningkatan konsisten daripada RM1.1 trilion pada 2021 kepada RM1.3 trilion pada 2025.
Beliau berkata, meskipun Malaysia mengamalkan dasar pasaran terbuka dalam merangsang pertumbuhan ekonomi digital dan sektor e-dagang, kepentingan pemain industri tempatan tidak akan diketepikan.
“Kerajaan tidak akan sesekali membelakangkan kepentingan pemegang taruh tempatan.
“Di samping komited kepada keterbukaan pasaran, pertumbuhan ini mestilah berlandaskan prinsip keadilan dan tanggungjawab.
“Pengguna perlu dilindungi, manakala peniaga tempatan khususnya PMKS wajib diberi ruang untuk bersaing secara saksama,” katanya ketika menjawab soalan Kamar Khas Dewan Rakyat, Parlimen, petang Khamis.
Menurutnya, kajian semakan terhadap semua undang-undang yang berkaitan dengan sektor e-dagang telah dimulakan sejak April 2024 dan laporan akhir kajian berkenaan kini telah disiapkan.
Susulan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menyediakan Memorandum Jemaah Menteri berkaitan ketetapan dasar bagi penggubalan undang-undang baharu e-dagang.
“Kertas memorandum tersebut dijadual dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu pertama Julai 2026 sebelum proses penyediaan deraf Rang Undang-Undang (RUU) dilaksanakan,” jelasnya.
Dalam pada itu, kerajaan turut menubuhkan Jawatankuasa Khas Berkaitan Impak Perniagaan Asing Dalam Negara bagi meneliti pelbagai isu yang timbul susulan peningkatan penyertaan pemain asing dalam pasaran tempatan.
“Antara terma rujukan jawatankuasa ini ialah meneliti risiko lambakan barangan dan perkhidmatan asing melalui platform e-dagang serta penyalahgunaan pas imigresen untuk tujuan berniaga dan bekerja di Malaysia.
“Jawatankuasa berkenaan dipengerusikan oleh Kementerian Kewangan dan dianggotai beberapa kementerian serta agensi termasuk KPDN, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Imigresen Malaysia,” tambah beliau.
Beliau turut menegaskan pertumbuhan sektor e-dagang perlu diseimbangkan dengan kelangsungan perniagaan tempatan agar manfaat ekonomi digital dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat dan negara.
