Kes buli Tenom: Suspek bawah 12 tahun ditangani ikut peruntukan undang-undang - Jauteh

KOTA KINABALU: Kes buli yang dipercayai berlaku di Tenom dan tular di media sosial baru-baru ini sedang disiasat mengikut peruntukan undang-undang sedia ada memandangkan suspek yang terlibat merupakan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, polis akan mengendalikan kes tersebut secara profesional dan berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa bagi pesalah bawah umur.

“Pihak polis telah melaksanakan siasatan dan satu kertas siasatan telah dibuka. 

“Mangsa juga telah diambil percakapan dan suspek-suspek yang terlibat turut dirakam percakapan.

“Bagaimanapun, kita akan menangani kes ini berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada kerana mereka merupakan pesalah bawah umur 12 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutupan Kursus Asas Latihan Pasukan Gerakan Am (PGA) Siri 1/2026 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Jauteh menasihatkan orang ramai supaya tidak terus menyebarluaskan video atau gambar berkaitan kes berkenaan, termasuk melakukan suntingan yang boleh menjejaskan pihak terlibat.

“Kita minta orang ramai tidak menyebarluaskan video-video atau membuat suntingan terhadap gambar-gambar pihak yang terlibat.

“Saya faham tujuan sesetengah pihak adalah untuk memberi peringatan kepada masyarakat supaya perkara seperti ini tidak berulang, namun penyebaran secara berleluasa termasuk komen-komen yang tidak sesuai boleh memberi kesan negatif kepada semua pihak yang terlibat,” jelasnya. 

Beliau turut mengingatkan masyarakat agar lebih bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial serta menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
Kami juga ada di sini!