Penggunaan MyKad pastikan manfaat subsidi diesel turut dinikmati penduduk pedalaman Sabah

Amir Hamzah ketika ditemui, di sini.

KOTA KINABALU: Pelaksanaan subsidi diesel bersasar menerusi penggunaan MyKad diyakini mampu dilaksanakan dengan berkesan sehingga ke kawasan pedalaman di Sabah berdasarkan kejayaan pelbagai program bantuan kerajaan yang menggunakan mekanisme sama sebelum ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kerajaan akan menggunakan sistem yang sama seperti pelaksanaan BUDI RON95 yang kini digunakan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Katanya, penggunaan MyKad dalam kalangan rakyat di kawasan pedalaman bukan lagi sesuatu yang asing memandangkan mekanisme tersebut telah digunakan dalam beberapa program bantuan kerajaan.

“Bila kita perkenalkan BUDI RON95, kita buat seluruh negara, tidak ada beza antara Sabah dan Sarawak.

“Sekarang untuk penyelarasan subsidi diesel ini, kita akan gunakan sistem yang sama untuk seluruh negara juga.

“Disebabkan penggunaan MyKad di bawah BUDI RON95 sudah meluas, mereka yang berada di kawasan pedalaman juga telah menggunakan MyKad untuk mendapatkan manfaat yang disediakan,” katanya pada sidang media mengenai pelaksanaan subsidi diesel bersasar di sini, hari ini.

Menurut beliau, keyakinan kerajaan terhadap keberkesanan sistem itu turut disokong oleh pencapaian Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang menunjukkan kadar penggunaan yang tinggi dalam kalangan penerima bantuan di Sabah.

“Di Sabah terdapat kira-kira 1,493 kedai SARA termasuk di kawasan pedalaman. Penggunaan SARA di Sabah juga mencapai 100 peratus dalam kalangan penerima yang layak.

“Ini membuktikan bahawa penggunaan MyKad di kawasan pedalaman tidak menjadi masalah kerana infrastrukturnya sudah ada dan rakyat juga sudah biasa menggunakannya,” jelasnya.

Menurut beliau, mekanisme yang digunakan juga amat mudah kerana pengguna hanya perlu memasukkan MyKad ketika membuat pembelian bahan api tanpa perlu melalui proses yang rumit.

“Kalau kita tengok BUDI RON95, MyKad itu tidak susah digunakan. Apa yang perlu dibuat hanyalah masukkan kad ke dalam mesin. Tidak perlu membuat sebarang tetapan atau proses tambahan,” ujar beliau.

Beliau turut memaklumkan bahawa golongan petani, pekebun kecil dan penduduk luar bandar yang layak di bawah skim BUDI Agro-Komoditi, kerajaan negeri akan membantu proses pendaftaran supaya mereka dapat menikmati manfaat yang disediakan.

Sementara itu, Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata kerajaan Persekutuan telah mengambil kira faktor dan keunikan Sabah dalam merangka pelaksanaan subsidi diesel bersasar.

“Melihat kepada statistik dan fakta yang dibentangkan, jelas kerajaan Persekutuan telah mengambil kira faktor-faktor yang unik di Sabah yang tidak terdapat di Semenanjung.

“Yang penting ialah memastikan pelaksanaan skim ini berkesan dan sampai kepada kumpulan sasar, termasuk masyarakat luar bandar dan pedalaman.

“Bagi saya di pihak kerajaan dan juga rakyat, apabila ketirisan itu hilang, bukan sahaja kerajaan yang rugi tapi rakyat juga rugi,”tambahnya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
Kami juga ada di sini!