Lima lelaki mabuk kena jel dan didenda, serta hilang kelayakan dapatkan lesen memandu.

Lima lelaki masing-masing dijatuhi hukuman penjara dan denda selain hilang kelayakan untuk mendapatkan lesen lesen memandu untuk tempoh dua tahun selepas masing-masing mengaku bersalah atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol. Foto | SS.

TAWAU : Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara antara sehari hingga sembilan bulan serta denda sehingga RM12,000 terhadap lima lelaki selepas mereka mengaku bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had dibenarkan sehingga menyebabkan kemalangan.

Majistret Don Stiwin Malanjum turut memerintahkan lesen memandu kesemua tertuduh digantung selama dua tahun bermula dari tarikh sabitan, selain mengenakan hukuman penjara tambahan sekiranya gagal membayar denda yang dikenakan.

Dua tertuduh, Jagdev Singh al Jagender Singh, 59, dan Nelson Minjoe, 42, masing-masing dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan serta denda RM10,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Jagdev yang bekerja sebagai Penolong Pengurus Sabah Port turut didenda RM300 kerana tiada lesen kenderaan motor (LKM) mengikut Seksyen 23(1) APJ dan RM300 lagi kerana tiada perlindungan polisi insurans mengikut Seksyen 90(1) akta sama.

Nelson pula didenda RM500 kerana memandu tanpa lesen mengikut Seksyen 26(1) APJ dan RM500 lagi kerana tiada perlindungan polisi insurans mengikut Seksyen 90(1) APJ.

Sementara itu, Mohd Faqrul Idris, 26, Pembantu Kesihatan Awam secara kontrak di Unit Denggi Klinik Kesihatan Kubota, Sujaidi Jain, 34, dan Mohd Haizal Longi, 29, masing-masing dijatuhi hukuman penjara sehari selepas mengaku bersalah atas pertuduhan sama.

Mohd Faqrul dan Sujaidi masing-masing didenda RM10,000 manakala Mohd Haizal didenda RM12,000.

Semua tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Asisten Superintendan Joan Lee.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
Kami juga ada di sini!