NABAWAN : Sistem tagal antara pendekatan terbaik dalam
memulihara sumber perikanan sungai dan memperkukuh kesejahteraan masyarakat
luar bandar.
Pengarah Perikanan, Datin Dr. Shuhadah Mustapha berkata,
sistem tagal yang diamalkan secara turun-temurun terbukti berjaya memulihkan
semula sumber ikan sungai yang semakin berkurangan selain menjadi sandaran
penting dalam menjamin keterjaminan makanan bagi komuniti pedalaman.
"Sistem tagal berteraskan penjagaan, pemuliharaan dan
pengurusan sumber perikanan merupakan amalan warisan masyarakat Sabah yang
telah dipraktikkan secara turun-temurun, selain terbukti berkesan sebagai
pendekatan konservasi berasaskan komuniti.
"Di kawasan Pensiangan dan Pagalungan sahaja terdapat
sebanyak 21 tagal tradisi yang aktif dan perkembangan ini membuktikan kesedaran
masyarakat terhadap kepentingan pemeliharaan sungai semakin meningkat,"
katanya ketika merasmikan Majlis Perasmian Tagal Tradisi Kg. Kuala Sumatalun,
Nabawan, di sini pada Khamis.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Pengarah
Perikanan (Operasi) Sabah, Lawrence Kissol Jr.
Menurutnya, Pagalungan juga telah mencatat kejayaan apabila
salah satu tagalnya iaitu Tagal Kampung Sosogoh, berjaya dibangunkan sebagai
tagal eko-pelancongan.
"Sehingga kini terdapat 654 buah tagal di seluruh Sabah
melibatkan 232 sungai dengan 43 daripadanya berada dalam kategori Tagal MOU.
"Selain berfungsi sebagai mekanisme pemuliharaan sumber
perikanan, sistem tagal juga berpotensi besar menjana ekonomi komuniti menerusi
pembangunan eko-pelancongan seperti aktiviti bermain ikan jinak, perkhemahan,
sukan memancing dan rekreasi alam semula jadi," ujarnya.
Tambahnya, Tagal Kampung Kuala Sumatalun mempunyai
keistimewaan tersendiri kerana sungainya didiami spesies ikan salarong iaitu
spesies yang hanya terdapat di beberapa kawasan sungai tertentu di Sabah.
“Keunikan ini memberi nilai tambah yang besar kepada potensi
tagal ini untuk dibangunkan sebagai produk pelancongan komuniti, sekali gus
membuka peluang pekerjaan dan menjana pendapatan kepada penduduk setempat,”
jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan komuniti tagal
agar sentiasa berwaspada terhadap ancaman penyakit ikan dan perubahan cuaca,
susulan beberapa sungai di Sabah dilaporkan mengalami kejadian kematian ikan
secara mendadak dalam jumlah besar pada tahun ini.
Katanya, situasi itu dipercayai berpunca daripada jangkitan
virus KHV (Koi Herpesvirus) selain faktor musim kemarau yang melanda beberapa
kawasan.
Sehubungan itu, beberapa langkah kawalan telah disyorkan
termasuk larangan pemindahan ikan dari satu sungai ke sungai lain, selain tidak
melepaskan spesies ikan asing ke dalam sungai bagi melindungi spesies ikan
tempatan serta mengawal penularan penyakit.
“Bagi mengurangkan kerugian kepada komuniti tagal, Jabatan
Perikanan turut mencadangkan pembukaan tagal secara terkawal mengikut
kesesuaian semasa,” katanya.
Hadir sama, Pegawai Daerah, Marshal Anthony @ Idham; Ketua
Daerah, Philip Antugi dan Pengerusi Tagal Kampung Kuala Sumatalun, Pilin
Lumbis.
