TERKINI:

Ewon salur RM50,000 kepada SJKC Yue Min, komited bantu pembangunan sekolah

PENAMPANG: Timbalan Ketua Menteri III Sabah dan Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick menegaskan komitmennya untuk terus membantu memenuhi keperluan pembangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yue Min menerusi peruntukan tahunan serta sokongan terhadap pembangunan infrastruktur sekolah itu.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, SJKC Yue Min tidak pernah tercicir daripada menerima sumbangan melalui peruntukan Pejabat Ahli Parlimen Penampang sejak beliau dipilih mewakili kawasan itu pada penghujung 2022.

Katanya, membantu sekolah-sekolah di Penampang merupakan antara agenda tahunan yang diberi perhatian bagi memastikan kemudahan pendidikan terus dipertingkatkan.

“Sejak saya dipilih sebagai Ahli Parlimen Penampang pada penghujung tahun 2022, membantu sekolah-sekolah di Penampang menjadi antara program tahunan saya.

“SJKC Yue Min sendiri menerima peruntukan setiap tahun. Walaupun jumlahnya tidak begitu besar, sekolah ini tidak pernah tercicir daripada menerima sumbangan melalui peruntukan Pejabat Ahli Parlimen Penampang.

“Sempena majlis ini, saya bersetuju menyediakan peruntukan sebanyak RM50,000 kepda sekolah melalui peruntukan Ahli Parlimen dan turut bersetuju menyediakan peruntukan bagi kerja-kerja pembaikan jalan dalam kawasan sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah Lembaga Pengurusan Sekolah (LPS) Sesi 2026-2028 dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKC Yue Min, di sini, pada Ahad.

Sementara itu, beliau turut bersetuju menyediakan peruntukan bagi kerja-kerja pembaikan jalan dalam kawasan sekolah bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan warga sekolah.

Menurutnya, sebagai satu-satunya SJKC dalam kawasan Parlimen Penampang, SJKC Yue Min memainkan peranan penting dalam melahirkan modal insan berkualiti yang akan menyumbang kepada pembangunan Penampang dan Sabah pada masa depan.

Dalam pada itu, Ewon berkata beliau turut mengikuti perkembangan permohonan peruntukan sebanyak RM200,000 yang sebelum ini diluluskan oleh Kementerian Kewangan Malaysia untuk sekolah berkenaan.

Katanya, walaupun peruntukan itu telah diluluskan tahun lalu, ia masih belum disalurkan kepada pihak sekolah.

“Minggu lalu saya sudah berbincang dengan Timbalan Menteri Kewangan Malaysia, YB Liew Chin Tong berhubung kelulusan peruntukan RM200,000 daripada Kementerian Kewangan Malaysia yang sebelum ini belum disalurkan kepada pihak sekolah,” jelasnya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
SayangSabah FOLLOW