TERKINI:

Paling Popular

Bawa 186 liter diesel tanpa lesen, lelaki didenda RM10,000

KOTA KINABALU: Seorang lelaki didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menjalankan urus niaga minyak diesel tanpa lesen yang sah.

Abdul Salam Ismail, 36, dijatuhi hukuman itu oleh Mahkamah Sesyen 7 Kota Kinabalu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan. Bagaimanapun, dia difahamkan telah menjelaskan denda itu.

Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan dalam operasi risikan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah di kawasan parkir Jalan Tugu pada 19 April lalu.

Pemeriksaan terhadap Toyota Hilux Rocco yang dipandunya menemukan 186 liter minyak diesel disimpan di dalam tangki Intermediate Bulk Container (IBC) berkapasiti 1,000 liter di bahagian belakang kenderaan.

Siasatan lanjut mendapati tertuduh gagal mengemukakan lesen yang sah bagi menjalankan urus niaga membabitkan barang kawalan berjadual itu.

Mahkamah turut memerintahkan hasil jualan minyak diesel bernilai RM774.09 serta semua barang yang disita dilucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia, kecuali Toyota Hilux Rocco yang diarahkan dipulangkan kepada pemilik berdaftar.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah, Shahril Nizam Shahidin, berkata pihaknya akan terus memperkukuh operasi penguatkuasaan menerusi Ops Tiris 4.0 Bersepadu bagi membanteras penyelewengan barang kawalan yang mengakibatkan ketirisan subsidi kerajaan.

Katanya, KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang menyalahgunakan barang kawalan sehingga menjejaskan kepentingan rakyat dan menyebabkan kerugian kepada negara.

Beliau berkata, bagi kesalahan pertama di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan diminta menyalurkan aduan melalui saluran rasmi KPDN bagi membantu usaha penguatkuasaan membanteras kegiatan berkenaan," katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
SayangSabah FOLLOW