TERKINI:

Subsidi diesel bersasar diperluas kepada peniaga kecil antara dua penambahbaikan baharu diputus Kabinet - Armizan


PUTRAJAYA: Kerajaan melaksanakan dua penambahbaikan utama dalam pelaksanaan subsidi diesel bersasar bagi memastikan pelaksanaan subsidi diesel lebih adil, tepat dan mengambil kira keperluan sebenar pengguna serta maklum balas rakyat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, dua penambahbaikan yang diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri iaitu memperluaskan kelayakan subsidi kepada peniaga kecil yang menggunakan kenderaan diesel jenis jip dan pikap berdaftar atas nama perniagaan serta menyemak semula kadar kuota tetap Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) berdasarkan faktor teknikal termasuk Berat Dengan Muatan (BDM).

Katanya, melalui peluasan itu, peniaga kecil yang memiliki kenderaan diesel jenis jip dan pikap yang didaftarkan atas nama perniagaan atau syarikat di bawah kelas kegunaan persendirian perniagaan kini layak menerima subsidi diesel.

"Sebelum ini, kelayakan subsidi hanya diberikan kepada kenderaan diesel persendirian yang didaftarkan atas nama individu di bawah BUDI Diesel serta kenderaan syarikat pengangkutan barangan di bawah SKDS.

"Langkah ini membolehkan lebih ramai peniaga kecil menikmati manfaat subsidi diesel bagi mengurangkan beban kos operasi," katanya selepas meninjau kesiapsiagaan pelaksanaan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) di Stesen Shell Presint 18, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan turut menyemak kadar kuota tetap beberapa kategori kenderaan pengangkutan darat di bawah SKDS dengan mengambil kira faktor BDM, kapasiti enjin, kategori lori, tahap penggunaan bahan api dan pola operasi kenderaan.

Menurutnya, semakan itu akan memastikan kuota subsidi yang diberikan lebih selaras dengan penggunaan sebenar setiap jenis kenderaan, sekali gus meningkatkan keberkesanan penyasaran subsidi dan mengurangkan risiko ketirisan.

Dalam pada itu, Armizan berkata sebanyak 4,146 stesen minyak di seluruh negara telah bersedia untuk melaksanakan BUDI Diesel yang akan berkuat kuasa sepenuhnya mulai 1 Julai 2026.

Katanya, kesiapsiagaan itu disahkan hasil kerjasama kerajaan dengan 10 syarikat minyak iaitu PETRONAS, Shell, Petron, Caltex, BHPetrol, Five, Smart Stream, Xcel, PETROS dan IPTB.

"Hari ini pelaksanaan secara rintis dimulakan bagi menguji kestabilan sistem transaksi sebelum pelaksanaan penuh pada 1 Julai.

"Melalui BUDI Diesel, penerima yang layak akan menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter menggunakan pengesahan MyKad atau aplikasi digital syarikat minyak," katanya.

Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Kewangan serta Kementerian Pengangkutan telah diarahkan mengambil tindakan susulan segera bagi melaksanakan keputusan Jemaah Menteri, termasuk menambah baik serta mengintegrasikan sistem sedia ada supaya pelaksanaan subsidi diesel bersasar berjalan lancar dan memberi manfaat kepada golongan yang layak.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
SayangSabah FOLLOW