SANDAKAN: Deretan sembilan gerai separuh kekal bersama tiga kenderaan dan sebuah motosikal musnah dalam kebakaran di Kampung Pening Lalat, Karamunting, di sini, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.43 pagi sebelum menggerakkan 16 anggota ke lokasi.
Katanya, jentera pertama tiba di lokasi pada jam 11.58 pagi, kira-kira 15 kilometer dari balai.
"Kebakaran membabitkan sembilan gerai jenis separuh kekal berkeluasan kira-kira 80 x 200 kaki yang terbakar 80 peratus.
"Turut musnah dalam kebakaran, tiga kenderaan dan sebuah motosikal," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan air yang diperoleh daripada jentera serta pili bomba berhampiran.
"Api berjaya dikawal pada jam 12.05 tengah hari dan operasi pemadaman serta kerja-kerja memastikan tiada lagi punca kebakaran masih diteruskan.
"Setakat ini, tiada mangsa dilaporkan terbabit dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.
