KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan 24 warga asing dalam beberapa operasi penguatkuasaan yang dijalankan di Kota Kinabalu dan Semporna bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI).
Pengarah JIM Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama beberapa agensi penguatkuasaan dan berjaya mengesan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Menurutnya, di Kota Kinabalu, operasi termasuk Operasi Bersama Majlis Daerah Putatan dan Ops Selera memeriksa seramai 109 individu sebelum menahan 18 warga asing.
"Daripada jumlah itu, 16 adalah warga Filipina membabitkan lima lelaki dewasa, sembilan wanita dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan, manakala dua lagi ialah warga Indonesia iaitu seorang lelaki dan seorang wanita dewasa.
"Kesemua mereka ditahan kerana disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta melakukan pelanggaran syarat pas mengikut Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, di Semporna pula, operasi bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna dan Jabatan Pendaftaran Daerah Semporna memeriksa 97 individu.
"Hasil operasi itu membawa kepada penahanan enam warga asing terdiri daripada tiga lelaki warga Filipina, dua lelaki warga Pakistan dan seorang lelaki warga China kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah undang-undang imigresen," katanya.
Sitti Saleha berkata, semua individu yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Beliau menegaskan JIM Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras kehadiran PATI, selain memastikan undang-undang imigresen negara terus dipatuhi.
