TERKINI:

Suami maut, isteri cedera Hilux terbabas masuk parit

KINABATANGAN: Seorang lelaki maut manakala isterinya cedera selepas pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas sendiri sebelum masuk ke dalam parit di Kampung Paris 2, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.06 petang itu, mangsa lelaki berusia 56 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala isterinya yang berusia 53 tahun mengalami kecederaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Suriyadi Darwis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 1.06 petang sebelum menggerakkan lima anggota bersama sebuah jentera ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 50 kilometer dari balai.

"Setibanya pasukan bomba pada jam 1.51 petang, didapati kemalangan membabitkan sebuah Toyota Hilux Single Cab yang terbabas sendiri lalu masuk ke dalam parit di tepi jalan.

"Terdapat dua mangsa berada di dalam kenderaan dan kedua-duanya berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.

"Bagaimanapun, pemandu disahkan meninggal dunia oleh petugas KKM di lokasi, manakala penumpang wanita yang cedera dihantar ke Hospital Lahad Datu menggunakan kenderaan keluarganya untuk mendapatkan rawatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.15 petang selepas bomba memastikan tiada lagi sebarang bahaya di lokasi kejadian.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
SayangSabah FOLLOW