TERKINI:

Cubaan seludup 1,700 paket minyak masak bersubsidi gagal, suspek terjun laut

SANDAKAN: Cubaan menyeludup sebanyak 1,700 paket minyak masak bersubsidi gagal selepas sebuah perahu yang membawa bekalan itu ditinggalkan suspek yang bertindak terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan bakau dalam operasi di perairan Sandakan, awal pagi tadi. 

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi di Jeti Nelayan Kampung Combo, sepasukan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan yang melaksanakan Op Sejahtera 1/2022, Op Cegah PATI (OCP) dan Op Tiris 4.0 digerakkan ke lokasi susulan maklumat awam mengenai sebuah perahu yang mencurigakan.

Pengarah Maritim Zon Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, individu yang berada di atas perahu berkenaan bertindak terjun ke laut sebelum melarikan diri ke kawasan bakau berhampiran.

"Hasil pemeriksaan menemukan sebuah perahu berwarna hijau dan kuning bersama 100 bungkusan plastik hitam yang mengandungi paket minyak masak bersubsidi.

"Sebahagian bungkusan turut ditemui terapung di permukaan laut, dipercayai dibuang suspek ketika cuba meloloskan diri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 1,700 paket minyak masak bersubsidi dipercayai disimpan tanpa kebenaran yang sah.

Katanya, bot bersama barang rampasan yang dianggarkan bernilai RM14,250 itu dibawa ke Jeti Maritim Zon Sandakan untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, manakala siasatan sedang dijalankan bagi mengesan individu yang terbabit," katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan atau jenayah maritim kepada Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan 999 bagi membantu pihak berkuasa memperkukuh kawalan keselamatan dan kedaulatan perairan negara.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
SayangSabah FOLLOW