TERKINI:

44 PATI warga Filipina dicekup dalam Ops Sapu di Sandakan

SANDAKAN: Seramai 44 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam Operasi Sapu yang dijalankan di sekitar daerah ini, semalam.

Pengarah JIM Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, semua yang ditahan disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Katanya, operasi yang dijalankan pada 27 Jun itu membabitkan 13 pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan Sandakan.

"Hasil pemeriksaan terhadap 84 individu, seramai 44 PATI warga Filipina ditahan.

"Mereka terdiri daripada 10 lelaki dewasa, 11 wanita dewasa, 11 kanak-kanak lelaki dan 12 kanak-kanak perempuan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kesemua yang ditahan gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.

"Mereka disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah," katanya.

Sitti Saleha berkata, JIM Sabah akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi mengesan serta menahan PATI di seluruh negeri.

Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu atau majikan yang melindungi atau menggaji PATI.

"Tiada sebarang kompromi akan diberikan terhadap pihak yang melanggar undang-undang, khususnya membabitkan isu keselamatan negara.

"Kami juga menggesa orang ramai menyalurkan maklumat kepada JIM sekiranya mengesan kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan masing-masing," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
SayangSabah FOLLOW