TERKINI:

Seorang lagi mangsa dibaham buaya di Lahad Datu

LAHAD DATU: Belum reda kejadian kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun maut dibaham buaya semalam, seorang lagi penduduk menjadi mangsa reptilia ganas itu apabila ditemukan meninggal dunia di Pantai Kampung Mundas, Tungku, hari ini.

Mangsa lelaki berusia 20 tahun ditemukan oleh ahli keluarga bersama penduduk kampung dalam keadaan tidak bernyawa kira-kira jam 10 pagi selepas dipercayai diserang buaya ketika mengambil hasil laut daripada pukat yang dipasangnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintenden Jimmy Panyau berkata, siasatan mendapati mangsa keluar ke laut kira-kira jam 7 pagi untuk memeriksa pukat yang dipasang sehari sebelumnya.

"Ketika mangsa sedang mengambil hasil laut daripada pukat berkenaan, seekor buaya dipercayai muncul secara tiba-tiba lalu membaham mangsa di bahagian perut dan dada kiri sebelum mangsa tenggelam ke dalam air.

"Ahli keluarga bersama penduduk kampung kemudian menjalankan usaha mencari mangsa sebelum mayatnya ditemukan terapung di Pantai Kampung Mundas, Tungku," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian diminta menghubungi Sub-Inspektor Mohd Tahir Radin Hassan di talian 089-881255 atau hadir ke balai polis berhampiran.

Jimmy turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika melakukan sebarang aktiviti di kawasan sungai atau laut, terutama di lokasi yang berisiko mempunyai kehadiran buaya, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berulang.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
SayangSabah FOLLOW