KOTA KINABALU: Seorang pelajar Tingkatan Tiga dari Sekolah Menengah Maktab Sabah mengharumkan nama Sabah dan Malaysia apabila dinobatkan sebagai Delegasi Terbaik (The Best Delegate) pada Persidangan Asia Youth International Model United Nations (AYIMUN) 2026 yang berlangsung di Bangkok, Thailand, dari 26 hingga 29 Jun lalu.
Alexa Elayndra Adrian Validy menerima pengiktirafan tertinggi itu selepas cemerlang mewakili Majlis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam perbahasan bertemakan Pemeliharaan Pengetahuan Tradisional Perubatan Orang Asal Sambil Memastikan Pengesahan Saintifik.
Anugerah Delegasi Terbaik merupakan pengiktirafan tertinggi yang diberikan kepada peserta berdasarkan prestasi sepanjang persidangan meliputi kemahiran berbahas, diplomasi, kepimpinan serta keupayaan merangka dasar.
Alexa berkata, pengalaman menyertai AYIMUN bukan sahaja memberi peluang mengembangkan pengetahuan mengenai isu global, malah meningkatkan keyakinan diri untuk berinteraksi dengan peserta dari pelbagai negara.
"Saya berharap lebih ramai pelajar dari Sabah menyertai program seperti ini dan suatu hari nanti Sabah akan mempunyai pasukan Model United Nations sendiri," katanya dalam satu kenyataan.
Majlis penutupan persidangan itu turut dihadiri Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah.
Selain sijil dan trofi, Alexa turut menerima biasiswa bagi menyertai pertandingan AYIMUN yang akan diadakan di Bali, Indonesia, pada tahun ini.
Kejayaan terbaharu itu merupakan pengiktirafan keempat diraih Alexa dalam penyertaannya di AYIMUN.
Sebelum ini, Alexa pernah memenangi anugerah Honourable Mention serta Best Position Paper dalam edisi terdahulu persidangan antarabangsa berkenaan.
