TERKINI:

Sabah Perkasa Pembangunan Bakat Tempatan Penuhi Keperluan Industri

 

KOTA KINABALU : Kerajaan Negeri memberi penekanan kepada pembangunan bakat tempatan agar rakyat Sabah dapat mengisi peluang pekerjaan berkualiti tinggi yang diwujudkan melalui pelaburan baharu dan pembangunan sektor strategik.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, Kerajaan Negeri terus komited melaksanakan agenda pembangunan modal insan menerusi pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir yang mampu memenuhi keperluan industri masa depan.

"Kita mahu melihat lebih ramai anak Sabah menjadi jurutera, teknologis, juruteknik mahir, saintis data, pakar kecerdasan buatan dan pemimpin industri yang mampu bersaing di peringkat global.

"Dunia pekerjaan kini sedang melalui satu transformasi besar yang dipacu oleh teknologi digital automasi dan kecerdasan buatan (AI), teknologi ini sedang mengubah cara kita bekerja, menghasilkan produk, mengurus organisasi dan menyampaikan perkhidmatan.

"Dalam mendepani cabaran ekonomi moden yang dinamik, kesatuan sekerja perlu melengkapkan diri dengan kemahiran baharu. Peranan kesatuan kini merangkumi aspek pendigitalan, peningkatan kemahiran dan pematuhan piawaian antarabangsa.

"Semua pihak termasuk kesatuan sekerja, majikan, institusi latihan dan agensi kerajaan perlu memperkasakan budaya pembelajaran sepanjang hayat serta memperluaskan peluang latihan semula dan peningkatan kemahiran kepada para pekerja," katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick dalam Majlis Penyerahan Geran PHEKS 2026 Peringkat Negeri Sabah, di sini, pada Isnin.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman yang turut menyampaikan geran PHEKS kepada 38 wakil kesatuan sekerja dari seluruh Sabah.

Hajiji menambah, seiring dengan aspirasi SMJ 2.0, kerajaan negeri turut memberi penekenan besar terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional atau TVET.

"TVET bukan lagi pilihan alternatif atau kelas kedua, tetapi merupakan laluan penting untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang diperlukan oleh industri masa hadapan.

"Sabah mempunyai potensi besar dalam sektor tenaga, minyak dan gas, ekonomi biru, pelancongan, pembuatan maju dan teknologi hijau, jesteru semua sektor ini memerlukan tenaga kerja yang kompeten dan berkemahiran tinggi," jelasnya.

Menurut beliau, kejayaan ekonomi bukan sekadar angka tetapi kejayaan sebenar adalah apabila hasil pertumbuhan ekonomi dapat diterjemahkan kepada pekerjaan yang lebih berkualiti, gaji yang lebih baik dan kehidupan yang lebih sejahtera untuk rakyat.

"Kemajuan sesebuah negeri tidak hanya diukur melalui bangunan pencakar langit, nilai pelaburan berbilion ringgit atau angka-angka statistik pertumbuhan ekonomi semata-mata, tetapi kemajuan sebenar adalah apabila rakyat dapat menikmati peluang pekerjaan yang baik, pendapatan yang bermaruah dan kehidupan yang lebih sejahtera," ujarnya.

Beliau berkata, melalui PHEKS, Kerajaan MADANI memperuntukkan RM6.1 juta bagi pelaksanaannya di seluruh negara pada tahun ini, termasuk RM310,000 yang disalurkan kepada 38 kesatuan sekerja di Sabah.

Dalam pada itu, kerajaan juga terus komited memperkukuh perlindungan pekerja melalui pelaksanaan Perintah Gaji Minimum yang telah memanfaatkan lebih 4.4 juta pekerja.

"Akta Pekerja Gig 2025 telah dikuatkuasa sepenuhnya pada 31 Mac 2026 bagi memberi perlindungan kepada 1.64 juta pekerja gig manakala berkuatkuasa 1 Jun 2026.

"Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), telah melaksanakan Skim LINDUNG 24 jam dan ini bermakna 9.6 juta pencarum dilindungi sepanjang masa, tidak kira sama ada di dalam atau di luar waktu bekerja," tambahnya.

Hadir sama, Setiausaha Bahagian Pembangunan, Kewangan dan Sumber Manusia, Kementerian Sumber Manusia, Datuk Ahmad Firdaus Baharuddin, Timbalan Ketua Pengarah JHEKS, Anita Ahmad dan Pengarah JHEKS Sabah, Noraini Ithnin.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
SayangSabah FOLLOW