"Rupa-rupanya selama ini saya buat cara yang salah."
Ungkapan spontan pembantu tabika, Fauziah Andugut menggambarkan keterujaannya selepas berjaya menghasilkan kerepek pisang rangup bersalut gula yang sekata buat pertama kali.
Apa yang kelihatan seperti makanan ringan biasa sebenarnya membawa sinar harapan baharu kepada ibu tujuh anak itu untuk menjana pendapatan sampingan selepas tamat waktu bekerja.
Merupakan pembantu separuh hari di Tabika KEMAS Kampung Sindungon, Enubai, Fauziah berkata sebelum ini beliau hanya meniru cara yang dipelajari daripada rakan-rakan tanpa mengetahui teknik sebenar bagi menghasilkan kerepek yang berkualiti.
"Saya pernah cuba goreng kerepek pisang, kemudian terus gaulkan dengan air gula dan biarkan dalam periuk. Tetapi hasilnya tidak menjadi, gula tidak sekata dan akhirnya bertukar hitam," katanya sambil tertawa kecil.
Fauziah menzahirkan rasa kesyukuran kerana diberi peluang untuk mengikuti Kursus Pemprosesan Kerepek dan Ubi Berperisa di Kg. Gumisi Ulu baru-baru ini.
"Bukan sahaja diajar memilih bahan mentah seperti pisang dan ubi kayu yang mudah didapati, kami juga diberi peluang mempraktikkan sendiri setiap proses pembuatannya," katanya.
Menurut Fauziah, peserta kursus turut didedahkan dengan teknik pembungkusan produk yang lebih profesional bagi memastikan kerepek kekal berkualiti dan menarik untuk dipasarkan.
"Sebelum ini saya gunakan lilin saja untuk bungkus kerepek...nampaklah hitam hitam pada bungkusan dan tidak cantik.
"Setelah saya mengikuti kursus ini, barulah saya tahu ada plastik pembungkus khas yang kedap udara dijual di pasaran.
"Dengan pembungkusan yang betul, kerepek boleh kekal rangup sehingga tiga bulan, ini adalah pengetahuan baharu bagi kami,"ujarnya dengan penuh keterujaan.
Bagi seorang lagi peserta, Zuliza Zulfikar, komitmen menguruskan keluarga bukan penghalang untuk menimba ilmu yang boleh meningkatkan pendapatan isi rumah.
Suri rumah sepenuh masa dari Kampung Seri Menanti itu berkata pengalaman yang diperoleh akan dimanfaatkan bagi mengembangkan lagi perusahaan kek yang diusahakan dari rumah.
"Saya berharap dapat mempraktikkan segala ilmu yang dipelajari untuk mengembangkan perniagaan sedia ada, sekali gus menambah pendapatan keluarga tanpa perlu meninggalkan anak-anak di rumah," katanya.
Sementara itu, Penolong Pegawai Daerah Kecil Kemabong, Zakharia Jamal berkata pembangunan modal insan dan peningkatan sosioekonomi masyarakat terus menjadi antara agenda utama pembangunan daerah tersebut.
Beliau berkata usaha itu selaras dengan aspirasi kepimpinan di kawasan berkenaan yang mahu memperbanyakkan program kemahiran berimpak tinggi bagi memberi manfaat kepada masyarakat.
"Kursus yang dikendalikan oleh tenaga pengajar profesional dan bertauliah ini mampu meningkatkan kemahiran peserta dan membuka peluang untuk mereka menjadikan kemahiran tersebut sebagai sumber pendapatan.
"Peserta bukan sahaja mempelajari teknik menghasilkan produk yang berkualiti, malah didedahkan kepada aspek kawalan kualiti, pembungkusan serta ketahanan produk bagi meningkatkan daya saing di pasaran," katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan Kursus Pemprosesan Pisang dan Ubi Kayu Berperisa baru-baru ini.
Beliau turut berharap agar kerajaan dapat mewujudkan sebuah bengkel pemprosesan kerepek di Kemabong bagi menyediakan fasiliti khusus kepada pengusaha tempatan demi merancakkan industri pemprosesan makanan dan meningkatkan taraf ekonomi komuniti luar bandar.
Dalam pada itu, tenaga pengajar daripada Unit Industri Makanan dan Asas Tani, Pejabat Pertanian Tenom, Suzilah Johnary berkata kursus berkenaan memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta yang merangkumi teori dan latihan amali.
Katanya, peserta didedahkan kepada prosedur operasi standard (SOP) pemakaian dan kebersihan makanan, kawalan kualiti, pembungkusan dan pelabelan produk.
"Semua kemahiran yang diajar adalah mudah dipelajari dan boleh terus diaplikasikan untuk menghasilkan produk yang berkualiti serta dipasarkan," katanya.
Menurut beliau, pemilihan pisang dan ubi kayu sebagai bahan utama adalah bertepatan dengan potensi pertanian di daerah Tenom yang mempunyai pengeluaran hasil tanaman tersebut dalam kuantiti yang banyak.
"Majoriti penduduk di sini mengusahakan tanaman pisang.
Untuk mengurangkan lambakan buah pisang yang tidak terjual dan terbazir begitu sahaja, peserta diajar bagaimana menghasilkan produk makanan seperti kerepek pisang yang boleh dijual untuk mendapatkan pendapatan sampingan,"katanya lagi.
Kursus Pemprosesan Kerepek Pisang dan Ubi Kayu Berperisa anjuran Pejabat Daerah Kecil Kemabong dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah dan Pejabat Pertanian Tenom berlangsung selama dua hari di Dewan Kampung Gumisi Ulu, Kemabong.
Program itu disertai 20 peserta daripada pelbagai latar belakang, khususnya golongan B40 yang berdaftar dalam Sistem Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (eKasih) sebagai usaha memperkasakan komuniti luar bandar melalui pembangunan kemahiran, keusahawanan dan penghasilan produk berasaskan sumber tempatan.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)
