TAWAU: Seorang lelaki berusia 55 tahun ditahan selepas cuba melarikan diri daripada anggota polis dalam serbuan di hadapan sebuah rumah di Jalan Merotai Besar, Kampung Merotai Besar, di sini, semalam.
Dalam serbuan kira-kira jam 3 petang itu, polis turut merampas tujuh paket plastik lutsinar pelbagai saiz mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 30.41 gram.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt, berkata serbuan dijalankan sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai hasil risikan dan maklumat berkaitan kegiatan penyalahgunaan dadah di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, ketika anggota polis memperkenalkan diri dan menunjukkan kad kuasa kepada suspek yang berada dalam keadaan mencurigakan, lelaki terbabit bertindak melarikan diri.
"Bagaimanapun, suspek berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan dengan anggota polis.
"Pemeriksaan ke atas tubuh badan suspek kemudian menemukan sebuah beg plastik kecil berwarna hitam yang diserahkan sendiri oleh suspek," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Wilynton berkata, pemeriksaan lanjut ke atas beg berkenaan menemukan tujuh paket plastik lutsinar pelbagai saiz yang mengandungi hablur jernih disyaki syabu.
Katanya, hasil timbangan mendapati keseluruhan dadah yang dirampas seberat 30.41 gram.
"Suspek turut mengaku terbabit dalam kegiatan penagihan dadah ketika soal siasat awal dijalankan.
"Suspek bersama semua barang rampasan kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah berbahaya.
Wilynton menegaskan polis akan terus mempergiat usaha membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah ini, selain menggesa orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa mengekang kegiatan berkenaan.
