KOTA KINABALU : Projek peluasan Pelabuhan Sepanggar kini
mencapai kemajuan 61 peratus.
Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan
Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, perkembangan itu dicapai hasil
pemantauan berterusan serta kerjasama semua pihak, termasuk kontraktor
pelaksana.
"Kemajuan projek daripada sekitar 26 hingga 27 peratus
ketika saya mula mengambil alih tanggungjawab, kini sudah mencapai 61 peratus
kadar pelaksanaan.
"Kementerian turut mengadakan sesi libat urus secara
berkala bagi mengenal pasti dan menyelesaikan isu yang boleh menjejaskan
kemajuan projek," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Program
Aspirasi Kerjaya Pelaut sempena Sambutan Hari Pelaut Sedunia di sini, pada
Khamis.
Ewon berkata, isu kesesakan di Pelabuhan Sepanggar kekal
menjadi keutamaan kementerian memandangkan pelabuhan itu memainkan peranan
penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi Sabah.
"Pelaksanaan sistem berthing window sejak April lalu
merupakan antara langkah yang diperkenalkan bagi melancarkan operasi pelabuhan
dan membantu mengurangkan kesesakan.
"Peningkatan jumlah kontena yang dikendalikan di
Pelabuhan Sepanggar didorong oleh pertambahan aktiviti import dan eksport serta
perkembangan sektor perindustrian di negeri ini," katanya.
Menurut beliau, kerajaan turut memindahkan operasi
Roll-on/Roll-off (RO-RO) dari Sepanggar ke Taman Perindustrian Kota Kinabalu
(KKIP) bagi menyediakan lebih banyak ruang penyimpanan kontena, selain akan
membawa cadangan penambahan kawasan kontena ke Mesyuarat Kabinet negeri pada
bulan depan.
Turut hadir, Ketua Pengarah Laut Malaysia, Datuk Dickson
Dollah; Pengerusi Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah, Datuk Donald Peter
Mojuntin; serta Pengarah Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, Maswandie
Maimoon.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)
