KOTA KINABALU : Kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan
pelaut tempatan di Malaysia terdiri daripada anak Sabah.
Ketua Pengarah Laut Malaysia, Datuk Dickson Dollah berkata,
rekod Jabatan Laut Malaysia menunjukkan anak Sabah merupakan kumpulan kedua
terbesar dalam industri kepelautan negara, sekali gus membuktikan negeri ini
mempunyai potensi besar dalam industri maritim negara.
"Anak muda Sabah mempunyai kelebihan dari segi
disiplin, daya tahan dan keberanian yang merupakan antara ciri penting untuk
berjaya sebagai pelaut.
"Sabah juga mempunyai kedudukan strategik dengan
kawasan pesisir pantai yang luas serta aktiviti ekonomi berasaskan laut yang
menyokong pembangunan sektor maritim dan ekonomi biru," katanya ketika
berucap pada Program Aspirasi Kerjaya Pelaut Sabah 2026 sempena Sambutan Hari
Pelaut Sedunia, di sini, pada Khamis.
Menurut Dickson, program tersebut merupakan permulaan kepada
siri jelajah nasional industri maritim Malaysia, dengan Sabah dipilih sebagai
negeri pertama bagi penganjurannya.
"Sabah dipilih sebagai negeri pertama bagi penganjuran
Program Aspirasi Kerjaya Pelaut Sabah 2026 yang menjadi permulaan kepada siri
jelajah nasional industri maritim.
"Pemilihan ini merupakan pengiktirafan terhadap
kedudukan strategik negeri ini serta potensi besar anak-anak mudanya dalam
bidang maritim," ujarnya.
Beliau berkata, Sijil Kompetensi (CoC) yang dikeluarkan
Jabatan Laut Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa, sekali gus
membolehkan pelaut tempatan memperoleh peluang pekerjaan sama ada di atas kapal
mahupun dalam sektor maritim di darat.
"CoC merupakan lesen profesional kepada pelaut
tempatan. Ia bukan sahaja sah digunakan untuk berkhidmat di atas kapal, malah
turut diiktiraf oleh pelbagai agensi dan entiti maritim profesional di
darat," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan dan
ucapan terima kasih kepada semua pelaut atas bakti yang dicurahkan kepada
industri maritim negara.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri
Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Ewon Benedick; Pengerusi
Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah, Datuk Donald Peter Mojuntin; serta Pengarah
Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, Maswandie Maimoon.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)

