PAPAR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang dilaporkan hilang selepas dipercayai lemas di Sungai Kampung Mandalipau di sini pada Selasa lalu, ditemukan meninggal dunia pada petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Ronny Sikawan berkata, mangsa, Najmal Walki, ditemukan oleh orang awam pada jam 5 petang dalam keadaan tersangkut pada paip pam air di Kampung Manggis.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ketiga dimulakan pada jam 10 pagi dengan penglibatan anggota bomba serta agensi penyelamat lain.
“Operasi pencarian dijalankan di kawasan Sungai Papar, Sungai Kabang hingga ke Sungai Ovai dengan radius pencarian sejauh tiga kilometer menggunakan teknik Water Surface Search dan bot rafting.
“Pada jam 5.02 petang, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sabah menerima panggilan melalui talian kecemasan 999 daripada orang awam yang memaklumkan penemuan seorang mangsa tersangkut pada paip pam air di Kampung Manggis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pasukan bomba yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa yang ditemukan adalah kanak-kanak yang dilaporkan hilang sejak 23 Jun lalu.
“Pasukan bomba bertindak mengangkat mangsa dari sungai ke darat menggunakan pengusung sebelum menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Katanya, operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.12 petang selepas mangsa berjaya ditemukan.
Dalam kejadian pada Selasa, mangsa dipercayai tergelincir sebelum dihanyutkan arus ketika bermain di tepi Sungai Kampung Mandalipau.
