TERKINI:

Politeknik KK gerakkan gotong-royong mega hapus penularan denggi

KOTA KINABALU: Politeknik Kota Kinabalu (PKK) mengambil langkah proaktif membanteras ancaman demam denggi dengan menganjurkan Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes Peringkat Politeknik Kota Kinabalu, di sini, semalam.

Program yang akan berlangsung sepanjang tempoh 14 Jun hingga 13 Julai itu dilaksanakan sebagai persediaan menjelang sesi pembelajaran semester baharu yang dijadual bermula sepenuhnya pada minggu hadapan.

Pengarah PKK, Md Nor Abdul Halim berkata, usaha berkenaan selaras dengan seruan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mempergiat langkah pencegahan denggi di seluruh negara.

Menurutnya, persekitaran yang tidak bersih serta kewujudan tempat takungan air menjadi antara punca utama pembiakan nyamuk Aedes dan penularan penyakit denggi.

“Program berskala mega ini bukan sekadar aktiviti pembersihan biasa, tetapi membuktikan komitmen PKK dalam mewujudkan persekitaran kampus yang bersih, sihat, selamat dan kondusif untuk seluruh warga kampus,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program yang juga Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar PKK, Kasmawati Senawing berkata, operasi gotong-royong dilaksanakan secara berfokus bagi memastikan keberkesanan usaha membanteras pembiakan nyamuk Aedes.

Katanya, kawasan operasi dibahagikan kepada dua zon utama iaitu Zon Kuarters yang melibatkan 10 blok kediaman dan Zon Kolej Kediaman (Kamsis) yang merangkumi 15 blok penempatan pelajar.

“Fokus utama program ini adalah mengenal pasti dan menghapuskan lokasi berisiko menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes. Pada masa sama, aspek keselamatan peserta turut diberi keutamaan sepanjang aktiviti dijalankan,” ujar beliau.

Program itu turut mendapat kerjasama sembilan agensi, kelab dalaman dan rakan korporat iaitu Unit Khidmat Pengurusan, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) PKK, PUSPANITA PKK, Kelab Rekreasi dan Kebajikan Staf (KERIS), Gerai PKK, Securi-Pro Protection, Pembinaan Bumi Hijau dan PKH Bakat Niaga.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk membersihkan kawasan sekitar bangunan, mengutip sampah dan bahan terbuang serta memeriksa lokasi yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Pihak pengurusan PKK optimis program berkenaan bukan sahaja dapat mengurangkan risiko penularan denggi di kampus, malah mengukuhkan semangat kerjasama, perpaduan dan budaya sukarelawan dalam kalangan warga politeknik serta komuniti setempat.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
SayangSabah FOLLOW