TERKINI:

1,000 benih siakap, 2,500 udang galah dilepaskan ke Sungai Padas

TENOM: Sebanyak 1,000 benih ikan siakap dan 2,500 benih udang galah dilepaskan ke Sungai Padas berhampiran Jambatan Baharu Tenom sebagai usaha memperkayakan sumber perikanan sungai serta menyokong pembangunan kawasan rekreasi di daerah ini.

Benih berkenaan adalah sumbangan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap.

Program pelepasan benih itu diwakili Pegawai Khas kepada Menteri, Mohd Nizam Ag Kassim, bersama Pegawai Perikanan Daerah Tenom, Francis Tikoi dan kakitangan Jabatan Perikanan Daerah Tenom.

Turut hadir, Pemaju Mukim, Junaidi Juan yang mewakili Pusat Perkhidmatan Masyarakat (PPM) N.42 Melalap serta wakil Team Nelayan Darat Tenom yang diketuai Fahmi bersama rakan-rakannya.

Mohd Nizam berkata, program itu adalah antara inisiatif Jabatan Perikanan Daerah Tenom yang selaras dengan perancangan Jamawi untuk membangunkan kawasan sekitar Jambatan Baharu Tenom sebagai Esplanade Tenom.

"Sebanyak 1,000 benih ikan siakap dan 2,500 benih udang galah disumbangkan bagi dilepaskan ke Sungai Padas.

"Usaha ini seiring dengan hasrat Datuk Jamawi untuk menjadikan kawasan Jambatan Baharu sebagai Esplanade Tenom yang mampu dimanfaatkan masyarakat setempat sebagai lokasi rekreasi dan riadah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pelepasan benih itu diharap dapat meningkatkan populasi ikan dan udang galah di Sungai Padas sekali gus membantu memulihara sumber perikanan darat.

Katanya, inisiatif berkenaan bukan sahaja memberi manfaat kepada ekosistem sungai, malah berpotensi menjadikan kawasan itu sebagai tarikan rekreasi serta merancakkan aktiviti perikanan darat yang mampu memberi nilai tambah kepada ekonomi masyarakat setempat.

"Semoga benih ikan siakap dan udang galah yang dilepaskan hari ini membesar serta terus membiak demi manfaat penduduk dan generasi akan datang," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
SayangSabah FOLLOW