KOTA KINABALU : Data Banci Ekonomi 2026 memperkukuhkan
pelaksanaan agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Pembantu Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan
Pengangkutan, Datuk Dr. Jonnybone J. Kurum berkata, data berkualiti penting
dalam memacu perancangan pembangunan di negeri ini.
"Kejayaan pelaksanaan SMJ 2.0 amat bergantung kepada
ketersediaan data yang lengkap, tepat dan terkini.
"Dalam konteks ini, Banci Ekonomi 2026 merupakan antara
sumber data paling penting yang akan menyokong perancangan, pelaksanaan dan
pemantauan agenda SMJ 2.0.
"Selain itu, data yang dihasilkan akan membantu
kerajaan memahami landskap ekonomi semasa, mengenal pasti sektor yang mempunyai
potensi pertumbuhan tinggi serta merancang strategi pembangunan lebih mampan
dan inklusif," katanya ketika merasmikan program Sesi Libat Urus Banci
Ekonomi 2026, di sini, pada Khamis.
Menurut Jonnybone, data berkualiti itu bakal memacu sasaran
progresif kerajaan negeri untuk mencapai nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar
(KDNK) melebihi RM100 bilion menjelang tahun 2030.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa Jabatan Perangkaan
Malaysia (DOSM) negeri telah selesai membanci lebih 60 peratus daripada
keseluruhan sekitar 90,000 pertubuhan yang disasarkan di sektor perkhidmatan,
pembuatan, pembinaan, pertanian dan perlombongan & pengkuarian.
"Pelaksanaan Fasa 1 meliputi pertubuhan Mikro telah
bermula pada Januari hingga Mac lalu, manakala Fasa 2 dan 3 meliputi pertubuhan
Besar, Sederhana dan Kecil sedang berjalan dari April hingga September
2026," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru komuniti perniagaan dan badan
profesional di negeri ini untuk terus memberikan kerjasama penuh sebagai rakan
strategik DOSM bagi memastikan kadar respons yang tinggi.
Beliau turut memberi jaminan bahawa semua maklumat yang
diberikan adalah dilindungi di bawah peruntukan undang-undang dan kerahsiaan
responden sentiasa diutamakan.
Hadir sama, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd
Uzir Mahidin dan Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Sabah,
Khairolnizam Hassan.

