KOTA KINABALU : Pelancaran Hub Inkubasi Pengkomersilan
Universiti Malaysia Sabah (CIPTA@UMS) membuktikan komitmen UMS dalam memperkasa
ekosistem pengkomersilan penyelidikan yang lebih dinamik, progresif dan
berimpak tinggi.
Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Panglima Abdul
Rahman Dahlan berkata, selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani untuk memacu
ekonomi berteraskan inovasi, universiti bertanggungjawab menyediakan
persekitaran yang kondusif bagi menyokong pertumbuhan syarikat pemula dan
syarikat terbitan atau Start-Up Spin-Off (SUSO).
"Landskap global hari ini sedang mengalami perubahan
pantas didorong kemajuan teknologi, kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan
ekonomi berasaskan pengetahuan.
"Dalam mendepani persekitaran yang kompetitif ini,
sesebuah Institusi Pendidikan Tinggi hendaklah melangkaui fungsi konvensional
yang sekadar bertindak sebagai pusat penyelidikan dan pendidikan semata-mata.
"Universiti pada era ini memikul tanggungjawab mendesak
untuk bertindak sebagai pemangkin penciptaan nilai ekonomi, peneraju inovasi
dan tulang belakang kepada pembangunan industri serta masyarakat.
"Kecemerlangan sesebuah universiti tidak lagi diukur
bersandarkan metrik penerbitan akademik atau kuantiti graduan semata-mata
tetapi dilihat dari segi keupayaan menterjemahkan hasil penyelidikan ke dalam
bentuk produk, teknologi, perkhidmatan dan penubuhan syarikat yang memberi
manfaat kepada masyarakat dan negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis
Pelancaran Hub Inkubasu Pengkomersilan CIPTA@UMS di Galeri Majlis, Bangunan
Canselori UMS di sini, pada Khamis.
Menurut Abdul Rahman, CIPTA@UMS akan berfungsi sebagai hab
sehenti komprehensif yang menyokong rantaian hayat pembangunan teknologi di
bawah SUSO dari perlindungan harta intelek, pembangunan prototaip, market
validation sehinggalah ke fasa pengkomersilan.
"Inisiatif ini selaras dengan komitmen Kementerian
Sains, Teknologi dan Inovasi dalam agenda pemerkasaan penyelidikan dan inovasi.
"Namun begitu, kita sedar kelangsungan sesebuah
syarikat sentiasa berdepan dengan risiko kegagalan yang tinggi atau dipanggil
Valley of Death.
"Oleh yang demikian, Lembaga Pengarah Universiti
menyambut baik dasar proaktif Kementerian Pendidikan Tinggi khususnya menerusi
inisiatif pengenalan Skim Geran Pemecutan Syarikat Pemula dan Syarikat Terbitan
& Accelerator atau SUSOA bermula tahun ini," ujarnya.
Beliau menyeru para inovator dan bakal usahawan UMS supaya
segera merebut dan memanfaatkan skim geran tersebut dengan menjadikan CIPTA@UMS
sebagai pusat operasi dan inkubasi utama.
Dalam majlis berkenaan, turut diadakan penyerahan sijil
Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Tahun 2025 dan Watikah Kelulusan Syarikat
Pemula Fasa 1/2026.
Hadir sama, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim
Mansor, Ahli-ahli Lembaga Pengarah UMS, Datuk Mohd Hasnol Ayub dan Samasuddin
Yusop, Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd., Datuk Ir Ts
Adzmir Abd Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn. Bhd., Datuk
Ir Ts Mohd Yaakob Jaafar dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)
UMS, Profesor Ir Dr. Rosalam Sarbatly.

