KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Program Wall of Fame 2026 bagi mengiktiraf alumni seni yang kini berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Program anjuran Persatuan Alumni Seni UMS (ASUMS) itu berlangsung di Dewan Resital UMS.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, program tersebut menghimpunkan alumni UMS yang berkhidmat dalam PDRM serta memberi inspirasi kepada pelajar.
“Usaha UMS ini memberi gambaran jelas kepada pelajar bahawa ilmu yang dipelajari, khususnya dari ASTIF, boleh dimanfaatkan dalam pelbagai bidang kerjaya.
“PDRM sentiasa terbuka menerima graduan daripada pelbagai latar belakang termasuk bidang seni, sekali gus menunjukkan bahawa laluan kerjaya tidak terhad kepada bidang pengajian semata-mata,” katanya.
Menurut beliau, program itu juga menjadi motivasi kepada pelajar bahawa bidang seni menawarkan peluang luas dalam sektor perkhidmatan awam.
“Hubungan ini penting supaya alumni dan pelajar dapat berinteraksi, berkongsi pengalaman serta membimbing generasi baharu dalam merancang masa depan mereka,” jelasnya.
Sementara itu, Naib Canselor UMS, Kasim Mansor berkata program berkenaan bukan sekadar majlis penghargaan, tetapi simbol pengiktirafan terhadap sumbangan alumni.
“Hubungan antara universiti dan alumni perlu terus diperkukuh kerana kedua-duanya saling melengkapi dalam memastikan kelangsungan kecemerlangan institusi.
“Pengiktirafan kepada alumni seni yang berkhidmat dalam PDRM membuktikan graduan bidang tersebut mampu menyumbang dalam pelbagai sektor termasuk keselamatan negara,”katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Raman Noordin.

