![]() |
Suspek seorang penjawat awam di tahan di Jalan Tungku Lahad Datu, semalam. Foto | Ihsan PDRM. |
TAWAU : Kegiatan seorang penjawat awam dipercayai terbabit dalam jenayah pecah rumah di Tanjung Batu Tengah, di sini, bulan lalu, terbongkar selepas dia dicekup polis di Felda Sahabat, Lahad Datu, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 42 tahun itu ditahan kira-kira jam 10.45 pagi oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di tepi Jalan Tungku.
Menurutnya, tangkapan itu dibuat susulan laporan seorang wanita tempatan berusia 61 tahun yang mendakwa rumahnya dipecah masuk pada 25 Mac lalu.
“Mangsa menyedari kejadian selepas pulang ke rumah pada malam sama sebelum mendapati jeriji besi di bahagian jendela belakang telah dirosakkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pelbagai barangan dilaporkan hilang termasuk dua komputer riba, televisyen 60 inci, jam tangan, beberapa pasang kasut, beg tangan serta barangan peribadi lain.
“Hasil tangkapan itu, polis turut merampas beberapa barangan dipercayai berkaitan dengan kes termasuk komputer riba, jam tangan, beg dan sebuah telefon bimbit,” katanya.
Jasmin menegaskan polis memandang serius jenayah pecah rumah dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit, termasuk penjawat awam.
“Orang ramai dinasihatkan supaya meningkatkan tahap keselamatan kediaman serta segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan,” katanya.
