Tengku Mahkota Pahang berkenan adakan pertemuan dengan Tun Musa di Sabah

Gambar Bernama 


KOTA KINABALU: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengadakan pertemuan bersama Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda pada jam 2.08 petang disambut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif serta Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Isyak Ayub bersama pegawai kanan istana.

Baginda kemudian menandatangani buku lawatan sebelum diiringi ke Pejabat Yang Dipertua Negeri Sabah bagi sesi pertemuan bersama Tun Musa yang berlangsung lebih sejam.

Difahamkan, pertemuan itu menjadi medan bertukar pandangan serta idea membabitkan pelbagai perkara termasuk hubungan antara negeri, pembangunan belia dan semangat perpaduan nasional.

Sejurus selesai pertemuan, Tengku Hassanal dijadual berangkat ke Kundasang, Ranau bagi mengetuai Ekspedisi Mahkota Borneo yang berlangsung bermula hari ini hingga 13 Mei.

Ekspedisi berkenaan bakal menyaksikan baginda mendaki Gunung Kinabalu esok bersama pegawai dan anggota Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia (PASKAU) selain pengiring rapat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Program itu dilihat bukan sekadar ekspedisi lasak, malah membawa simbol kepimpinan, ketahanan fizikal dan disiplin tinggi yang sentiasa diterapkan Tengku Hassanal dalam kalangan generasi muda serta pasukan keselamatan negara.

Selain menguji kemampuan fizikal peserta, ekspedisi itu juga dijangka mengeratkan hubungan strategik antara Sabah dan Pahang serta menyemarakkan semangat perpaduan dan patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama