KOTA KINABALU: Program Smartstart School dilaksanakan sebagai langkah awal membentuk kanak-kanak yang lebih berani, mempunyai kesedaran terhadap keselamatan diri serta mampu mengelakkan situasi berisiko sejak usia muda.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki, berkata program itu adalah hasil kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) bersama Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Sabah.
Katanya, program berkenaan memberi penekanan kepada penerapan nilai keselamatan dan kesedaran dalam kalangan kanak-kanak TABIKA Perpaduan.
“Pendidikan awal amat penting kerana kanak-kanak berusia antara empat hingga enam tahun berada pada fasa perkembangan yang mudah menyerap nilai keselamatan diri serta kemahiran menolak pengaruh negatif.
“Pada usia ini, asas dan nilai kehidupan paling mudah dibentuk. Mereka mungkin belum memahami konsep dadah secara teknikal, namun boleh dididik mengenai keselamatan diri, mengenali bahaya dan keberanian untuk berkata tidak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Smartstart School di sini, hari ini.
Julita berkata, pendekatan program itu dilaksanakan secara interaktif menerusi penggunaan visual, cerita, permainan dan aktiviti mesra kanak-kanak bagi memastikan mesej pencegahan mudah difahami.
Menurutnya, antara fokus utama program berkenaan ialah mengajar kanak-kanak membezakan individu dikenali dan tidak dikenali, memahami bahawa tidak semua pemberian boleh diterima serta mengetahui tindakan sewajarnya apabila berdepan situasi mencurigakan.
“Paling penting ialah membina keberanian dan keyakinan anak-anak untuk menyebut ayat ‘Tak Nak, Ini Bahaya!’ apabila berhadapan dengan perkara meragukan,” katanya.
Beliau berkata, program Smartstart School dimulakan di Kota Kinabalu sebelum diperluaskan secara berperingkat ke daerah lain di Sabah berdasarkan keberkesanan pelaksanaannya.
Dalam pada itu, Julita berkata, peranan ibu bapa dan guru amat penting bagi memastikan nilai diterapkan di sekolah dapat diteruskan di rumah.
“Kita mahu memastikan anak-anak membesar dengan nilai yang baik supaya mereka tidak mudah terjebak dengan perkara yang boleh merosakkan masa depan,” katanya.
