![]() |
| Foto: FB Borneo Marathon |
KOTA KINABALU: Seorang pelari dan seorang anggota RELA cedera selepas terlibat dalam insiden langgar lari ketika berlangsungnya Borneo International Marathon (BIM) 2026, baru-baru ini.
Kinabalu Running Club dalam satu kenyataan memaklumkan kedua-dua mangsa menerima rawatan segera daripada pasukan perubatan acara sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut dan pemerhatian.
Katanya, jawatankuasa penganjur turut menghubungi keluarga mangsa dan sedang memantau keadaan mereka sambil menyalurkan sokongan kepada pihak terjejas.
“Perkara ini telah dilaporkan kepada pihak polis dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak berkuasa berkaitan.
“Kami akan terus memberikan kerjasama penuh dalam proses siasatan,” katanya.
Kelab itu turut menegaskan keselamatan pelari, sukarelawan, pegawai dan semua petugas acara kekal menjadi keutamaan utama penganjur.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya pengguna jalan raya diseru agar menghormati penutupan jalan serta langkah keselamatan sepanjang acara sukan dianjurkan.
Dalam pada itu, pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada pasukan perubatan, anggota penguat kuasa, sukarelawan dan orang awam yang bertindak pantas semasa insiden berkenaan.
