KUANTAN: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengetuai Ekspedisi Mahkota Borneo di Sabah yang dijadual berlangsung selama tiga hari bermula Isnin ini.
Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya berkata, Tengku Hassanal dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu kira-kira jam 1 tengah hari sebelum mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Menurutnya, pertemuan itu bertujuan bertukar pandangan dan idea dalam usaha memperkukuh hubungan antara negeri Pahang dan Sabah.
“Baginda turut dijadual mendaki Gunung Kinabalu pada Selasa dengan diiringi pegawai serta anggota Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia selain pengiring rapat daripada Polis Diraja Malaysia,” katanya menerusi kenyataan media, semalam
Mohamed Zahari berkata, Ekspedisi Mahkota Borneo itu mencerminkan semangat kepimpinan, ketahanan fizikal dan disiplin tinggi yang sentiasa diterapkan Tengku Hassanal dalam kalangan generasi muda serta pasukan keselamatan negara.
Beliau berkata, ekspedisi berkenaan juga diyakini mampu mengukuhkan hubungan silaturahim dan kerjasama strategik antara Pahang dengan Sabah.
“Selain itu, program ini turut menyemarakkan semangat perpaduan dan patriotisme dalam kalangan rakyat negara ini,” katanya.
