KUDAT: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kelulusan peruntukan melebihi RM31 juta bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan dan menaik taraf infrastruktur asas untuk kemudahan rakyat di Pulau Banggi.
Beliau berkata, kerajaan turut meluluskan projek naik taraf Jalan Kampung Limbuak Laut ke Kampung Pengkalan Darat dengan kos hampir RM44 juta bagi meningkatkan jaringan perhubungan penduduk di pulau berkenaan.
Menurutnya, projek berkenaan dijangka memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat khususnya dari segi akses pengangkutan, ekonomi dan kemudahan harian.
“Kerajaan komited memastikan pembangunan di kawasan luar bandar termasuk di Pulau Banggi terus diberi perhatian supaya rakyat dapat menikmati kemudahan lebih baik dan selesa,” katanya sempena lawatan kerja ke Pulau Banggi, hari ini.
Dalam lawatan sama, Anwar turut mengumumkan peruntukan RM1.25 juta bagi pelaksanaan pelbagai program melibatkan bidang pendidikan, teknologi hijau dan kesihatan untuk manfaat penduduk di pulau itu.
Selain itu, beliau berkata, sebanyak RM1 juta lagi diperuntukkan bagi menaik taraf jeti di Kampung Dogoton untuk kegunaan penduduk setempat serta agensi penguat kuasa.
Pada masa sama, Perdana Menteri mahu prestasi Sekolah Menengah Kebangsaan Banggi dipertingkatkan sebagai pusat pembangunan modal insan di kawasan berkenaan.
Beliau turut meminta laporan lengkap mengenai keperluan dan penambahbaikan sekolah itu disediakan dalam tempoh dua minggu bagi membolehkan tindakan segera diambil kerajaan.
Anwar berkata, kerajaan akan terus memantau pelaksanaan projek dan keperluan rakyat di Pulau Banggi agar pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.
