KOTA KINABALU: Seramai 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk majoritinya warga Filipina ditahan dalam operasi penguatkuasaan bersepadu menerusi Ops Sapu yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di sekitar daerah ini.
Pengarah JIM Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi dilaksanakan Bahagian Penguat Kuasa JIM Sabah itu dijalankan di tiga premis sekitar Kota Kinabalu.
Katanya, seramai 40 individu diperiksa sepanjang operasi berkenaan sebelum 21 daripadanya ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
“Daripada jumlah yang ditahan, 19 adalah warga Filipina membabitkan empat lelaki dewasa, sembilan perempuan dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.
“Dua lagi adalah warga Indonesia iaitu seorang perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan,” katanya dalam kenyataan media, pada Sabtu.
Menurutnya, semua PATI terbabit dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta tinggal lebih masa di negara ini.
Beliau berkata, semua tahanan dibawa ke Depot Imigresen untuk tindakan lanjut dan siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Katanya, operasi berkenaan adalah sebahagian usaha berterusan JIM Sabah dalam membanteras kehadiran PATI di negeri ini selain memastikan pematuhan undang-undang imigresen.
“Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu atau majikan yang melindungi atau menggaji PATI.
“Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang terutama membabitkan isu keselamatan,” katanya.
