Syabu lebih RM15 juta dirampas di Pelabuhan Sepanggar

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya menumpaskan cubaan pengedaran dadah jenis methamphetamine seberat kira-kira 305.722 kilogram dengan nilai dianggarkan RM15.28 juta dalam satu operasi di Pelabuhan Sepanggar, di sini.

Pengarah Kastam Negeri Sabah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, rampasan dilakukan kira-kira jam 11.30 pagi pada 22 April lalu hasil pemeriksaan ke atas sebuah kontena yang tiba dari Pelabuhan Klang, Selangor.

Menurutnya, pemeriksaan dijalankan oleh pasukan Cawangan Narkotik, Bahagian Penguatkuasaan Negeri Sabah bersama Cawangan Import Eksport pelabuhan berkenaan susulan maklumat risikan.

“Hasil pemeriksaan menemukan 15 kotak yang disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine.

“Modus operandi digunakan adalah dengan mengikrarkan dadah sebagai barangan minuman (drink stuff) dalam dokumen penghantaran bagi mengelirukan pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di sini, hari ini. 

Beliau berkata, taktik berkenaan dipercayai bertujuan mengelak daripada dikesan dalam pemeriksaan awal di pintu masuk negara.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai agar terus menyalurkan maklumat kepada pihak JKDM dalam usaha membanteras kegiatan penyeludupan termasuk dadah, rokok, minuman keras, mercun dan kenderaan.

“Kegiatan penyeludupan bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah turut mengancam keselamatan serta kesejahteraan rakyat.

“Orang ramai boleh menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam berhampiran. Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama