KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menggesa pemain industri pelancongan negeri ini merangka pendekatan lebih strategik dan dinamik bagi menangani penurunan kadar penginapan hotel sejak kebelakangan ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, berkata kerjasama erat antara Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Sabah dan Labuan bersama Lembaga Pelancongan Sabah (STB) perlu diperkukuh bagi memastikan strategi pemasaran pelancongan lebih relevan dengan situasi semasa.
Beliau berkata, beberapa hotel di sekitar ibu negeri terjejas secara langsung susulan penurunan kadar penginapan yang semakin ketara.
“Keadaan ini dipercayai berpunca daripada ketidaktentuan global termasuk konflik di Timur Tengah, selain perubahan trend perjalanan pelancong yang kini beralih ke destinasi baharu seperti Vietnam,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat rombongan MAH Sabah dan Labuan yang diketuai pengerusinya, Suresh Ramasamy, di sini.
Mengulas lanjut, Masidi berkata, usaha mempergiatkan promosi pelancongan domestik perlu diberi keutamaan dengan menyasarkan pasaran berpotensi tinggi seperti Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru.
Katanya, kelompok pelancong tempatan berpendapatan tinggi yang tertumpu di kawasan berkenaan mampu menjadi pemangkin kepada pemulihan industri pelancongan negeri.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Sabah perlu tampil dengan produk pelancongan baharu dan unik bagi memastikan negeri ini kekal kompetitif di peringkat serantau.
“Dengan strategi yang tepat serta penawaran produk pelancongan yang segar, Sabah masih mempunyai kelebihan tersendiri untuk terus menarik kehadiran pelancong, sama ada domestik mahupun antarabangsa,” katanya.
