Mungkin ADUN Kepayan terlupa, WARISAN dulu tidak setuju bawa isu 40% ke mahkamah - Armizan



PAPAR: Kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayan, Chin Tek Ming berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah disifatkan sebagai mengelirukan, selain tidak selari dengan pendirian Parti Warisan (WARISAN) sebelum ini.

Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kemungkinan ADUN berkenaan terlupa bahawa kerajaan negeri di bawah WARISAN sebelum ini tidak bersetuju membawa isu tuntutan itu ke mahkamah.

“Mungkin ADUN Kepayan terlupa bahawa pada Ogos 2019, kerajaan negeri ketika itu menyatakan tidak wajar membawa perjuangan menuntut hak Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk tuntutan 40 peratus, ke mahkamah.

“Namun hari ini mereka dilihat seolah-olah lebih konsisten dalam isu ini, sedangkan rekod menunjukkan sebaliknya,” katanya ketika ditemui pada taklimat status projek-projek infrastruktur Parlimen Papar, hari ini.

Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, selain itu, kerajaan WARISAN ketika itu turut membuat keputusan yang disifatkan merugikan negeri apabila bersetuju dengan semakan kadar pemberian khas (special grant) pada jumlah hanya RM53.4 juta.

Menurutnya, persetujuan itu dibuat melalui surat rasmi kepada Kementerian Kewangan Malaysia pada Oktober 2019, hasil kelulusan Kabinet negeri ketika itu.

“Itu satu tindakan yang amat cuai kerana membelakangkan kepentingan negeri. Sedangkan hari ini, kerajaan negeri mensasarkan peningkatan pemberian khas daripada RM600 juta kepada sekurang-kurangnya RM3 bilion setahun sebagai langkah awal,” katanya.

Beliau menegaskan, penolakan usul persendirian ADUN Kepayan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah baru-baru ini bukan bermakna kerajaan negeri menolak perjuangan tuntutan 40 peratus.

Katanya, keputusan itu dibuat oleh Speaker DUN mengikut peraturan mesyuarat, dan tidak wajar dijadikan naratif politik untuk mengelirukan rakyat.

“Kerajaan negeri konsisten dalam memperjuangkan hak 40 peratus ini sama ada melalui rundingan, di peringkat kabinet Persekutuan mahupun melalui proses perundangan.

“Perjuangan ini bukan retorik, tetapi tindakan berterusan yang sedang dilaksanakan secara serius,” katanya.

Dalam pada itu, Armizan berkata sekiranya semakan kadar baharu pemberian khas belum dimuktamadkan oleh kerajaan Persekutuan sebelum sidang DUN akan datang, pihaknya tidak menolak kemungkinan membawa usul berkaitan perkara itu secara rasmi.

Katanya, langkah itu penting bagi menegaskan pendirian kerajaan negeri selain merekodkan fakta sebenar termasuk keputusan pentadbiran terdahulu untuk rujukan rakyat.

“Biarlah segala fakta ini direkodkan secara rasmi dalam hansard DUN supaya rakyat tahu sejarah sebenar dan tidak terkeliru dengan naratif yang dimainkan,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa kerajaan Persekutuan akan memberi perhatian serius terhadap tuntutan Sabah, apatah lagi Perdana Menteri sebelum ini telah mengiktiraf hak 40 peratus seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor akan terus memperjuangkan hak ini sehingga mencapai kadar yang lebih adil dan munasabah untuk Sabah,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama