![]() |
| Foto: FB Borneo Marathon |
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa lelaki berusia 40 tahun dipercayai sedang berlari di laluan kiri jalan yang dikhaskan untuk peserta marathon sebelum dilanggar dari arah belakang oleh sebuah Proton Saga.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki tempatan berusia 27 tahun itu dipercayai terus bergerak selepas pelanggaran sebelum terbabas berhampiran Petronas Jalan Tuaran Bypass.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan, lutut dan belakang leher sebelum menerima rawatan di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu.
“Pemandu kenderaan turut mengalami kecederaan ringan di bahagian lengan kanan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan di lokasi mendapati kon keselamatan telah dipasang di lorong kiri jalan sebagai pemisah laluan peserta marathon dan laluan kenderaan.
Katanya, kenderaan terbabit telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk pemeriksaan lanjut oleh PUSPAKOM.
“Kes disiasat di bawah Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.
Sementara itu, Kinabalu Running Club dalam satu kenyataan memaklumkan insiden berkenaan turut menyebabkan seorang petugas RELA mengalami kecederaan.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua mangsa menerima rawatan awal daripada pasukan perubatan sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut dan pemerhatian.
“Ahli jawatankuasa penganjur segera menghubungi ahli keluarga mangsa dan memastikan keadaan kedua-dua mangsa stabil.
“Perkara ini sudah dilaporkan kepada polis dan siasatan lanjut sedang dijalankan pihak berkuasa berkaitan. Kami akan memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan,” menurut kenyataan itu.
Kinabalu Running Club berkata, pihak penganjur sentiasa mengutamakan aspek keselamatan pelari, sukarelawan, pegawai dan semua petugas sepanjang acara berlangsung.
Dalam masa sama, orang ramai dan pengguna jalan raya diminta menghormati penutupan jalan serta langkah keselamatan yang ditetapkan ketika acara sukan berlangsung.
Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada pasukan perubatan, anggota penguat kuasa, sukarelawan dan orang awam yang bertindak pantas membantu mangsa ketika kejadian.
