TAWAU: Seramai 156 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia dipindahkan pulang ke negara asal melalui pintu masuk laut Pelabuhan Tawau, hari ini.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, program pemindahan itu membabitkan tahanan PATI ke Nunukan, Indonesia menerusi siri pemindahan keempat tahun ini.
Katanya, daripada jumlah itu, seramai 121 adalah lelaki dewasa, 24 perempuan dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan enam kanak-kanak perempuan berusia antara tiga hingga 62 tahun.
“Kesemua Orang Yang Dipindahkan (OYD) diiringi pihak Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau sepanjang proses penghantaran pulang ke negara asal,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, sehingga kini seramai 2,662 tahanan PATI berjaya dipindahkan dari Sabah ke negara asal masing-masing.
Beliau berkata, statistik menunjukkan warga Filipina merekodkan peratusan tertinggi melakukan pelbagai kesalahan imigresen di Sabah iaitu sebanyak 63 peratus, diikuti warga Indonesia 31 peratus.
“Selain itu, warga Pakistan mencatatkan tiga peratus, China dua peratus dan lain-lain warganegara satu peratus,” katanya.
Sitti Saleha berkata, JIM Sabah akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dan tindakan pemindahan PATI bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen negara.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat supaya lebih peka terhadap kehadiran PATI dalam komuniti dan tidak bersekongkol melindungi atau menggaji mereka.
“Orang ramai diminta segera menyalurkan maklumat berkaitan PATI melalui saluran rasmi Jabatan Imigresen Malaysia Sabah bagi membantu usaha penguatkuasaan dijalankan,” katanya.
