KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah terus komited memperkukuh kerjasama dengan agensi keselamatan dan penguatkuasaan bagi memastikan keamanan serta kedaulatan negeri sentiasa terpelihara.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, perkara itu antara fokus utama yang dibincangkan ketika menerima kunjungan hormat delegasi Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang diketuai Ketua Setiausahanya, Datuk Dr Awang Alik Jeman, hari ini.
Menurutnya, pertemuan itu menjadi platform penting untuk membincangkan pelbagai isu berkaitan keselamatan negeri, pengurusan sempadan, kawalan imigresen serta kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah.
“Keselamatan dan kestabilan negeri akan terus menjadi keutamaan kerana ia amat penting dalam memastikan kesejahteraan rakyat, keyakinan pelabur serta kelangsungan pembangunan Sabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Hajiji berkata, kerajaan negeri akan terus memperkukuh kerjasama dengan semua agensi berkaitan bagi memastikan aspek keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa berada pada tahap terbaik.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Makhzan Mahyuddin dan Ainah Mohd Soon; Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain serta Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof.
