Pesta Kaamatan Tingkatkan Nilai Kebersamaan, Angkat Martabat Kaum

Matbali ketika menyampaikan ucapan.

SIPITANG : Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Sipitang tahun 2026 dapat meningkatkan nilai kebersamaan dalam kalangan masyarakat dan mengangkat martabat kaum.

Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah berkata, penganjuran program itu bukan sahaja menjadi wadah dalam memperkenal keindahan budaya tersebut malah juga dapat mempromosi keunikan sambutan kaamatan di daerah ini.

“Program ini sebagai tanda keharmonian dan semangat muhibbah yang perlu dikekalkan sesuai dengan tema pada tahun ini.

"Penghormatan kepada semangat padi juga perlu kerana ianya terdapat dalam budaya Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR) itu sendiri.

"Program sebegini juga dapat mendidik generasi akan datang dalam memastikan tradisi ini tidak luput ditelan zaman seterusnya menarik minat golongan muda dalam memperkenalkan lagi kepelbagaian budaya dan adat resam kaum di Sabah," katanya ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Sipitang yang berlangsung di Dewan Serbaguna Daerah Sipitang, pada Ahad.

Beliau berharap sambutan berkenaan terus mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat setempat bagi mengekalkan budaya ini.

"Sambutan ini dilihat dapat mengeratkan lagi hubungan dan ukhwah sesama kaum dan sebagai pelengkap penyatuan semua kaum serta dapat utuhkan nilai kebersamaan di daerah ini di samping dengan adanya sokongan daripada Pegawai Daerah dan agensi berkaitan," ujarnya lagi.

Turut hadir, Pegawai Daerah, Abd Karim A.M Zahari, Pengerusi Persatuan KDCA Sipitang, Francis Japulis, Ketua Daerah Sipitang, OKK Daut Kasim, Timbalan Ketua Polis Daerah Sipitang, DSP Ismail Abdullah dan Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Sipitang, Kamariah Ismail.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama