KK bakal jadi data-driven city, teknologi satelit bantu tangani isu bandar

Joniston (tengah) bersama Sabin Samitah (kiri) dan Azlikamil (kanan) pada sidang media Majlis menandatangani MOU antara DBKK dan MYSA, di sini. 

KOTA KINABALU: Bandaraya Kota Kinabalu bakal menjadi sebuah data-driven city, dengan penggunaan teknologi satelit bagi meningkatkan kecekapan pengurusan bandar dan menangani pelbagai isu setempat.

Perkembangan itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MOU) antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), yang membuka lembaran baharu dalam penggunaan data dan teknologi untuk pentadbiran bandar.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap menteri yang bertanggungjawab kepada DBKK, Datuk Joniston Bangkuai berkata, pendekatan berasaskan data ini akan membolehkan DBKK bertindak dengan lebih pantas dan tepat dalam menangani pelbagai isu bandar secara menyeluruh.

“Melalui inisiatif ini, kita mahu meningkatkan keberkesanan dan kecekapan DBKK dengan menggunakan pendekatan data-driven supaya setiap tindakan yang diambil adalah lebih cepat dan berasaskan maklumat yang tepat.

“Semua isu seperti setinggan, kebersihan, trafik dan lain-lain boleh dipantau dengan lebih sistematik melalui teknologi yang disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Menandatangani MOU antara DBKK dan MYSA yang bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Menurutnya, penggunaan teknologi satelit turut membolehkan pemantauan dilakukan secara lebih menyeluruh, termasuk mengenal pasti pertambahan setinggan secara lebih tepat berdasarkan bukti.

“Dengan bantuan teknologi seperti satelit, kita boleh mengenal pasti perubahan di lapangan dengan lebih cepat. Ini membolehkan tindakan diambil dengan lebih berkesan berbanding kaedah konvensional,” jelasnya.

Joniston berkata, inisiatif itu juga selaras dengan usaha menjadikan Kota Kinabalu sebagai bandar pintar (smart city) yang seterusnya berkembang kepada bandar berasaskan data.

“Kita sudah menuju ke arah smart city, dan kini kita mahu melangkah lebih jauh sebagai data-driven city. Ini penting untuk memastikan kita tidak ketinggalan dalam arus pembangunan teknologi.

“Beberapa jawatankuasa bersama turut ditubuhkan antara DBKK dan MYSA bagi memastikan pelaksanaan semua inisiatif di bawah MOU dapat dilaksanakan dengan berkesan,” ujar beliau.

Mengulas isu projek terbengkalai, beliau mengakui perkara itu merupakan antara cabaran yang sedang dihadapi dan menjadi perhatian kerajaan.

“Kita mengakui wujudnya masalah projek terbengkalai dan ia sedang diteliti. Apa yang penting, kita perlu memahami punca sebenar sebelum mencari penyelesaian yang sesuai.

“Usaha sedang dijalankan untuk menangani isu ini, termasuk mendapatkan kerjasama daripada kerajaan Persekutuan sekiranya diperlukan,” tambahnya.

Kata beliau, kerjasama strategik itu bukan sahaja mampu mempercepatkan penyelesaian isu bandar, malah berpotensi diperluaskan ke pihak berkuasa tempatan lain di negeri ini pada masa hadapan.

“Kita melihat ini sebagai satu langkah yang berpandangan jauh dan berharap ia akan menjadi contoh kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) lain untuk turut mengadaptasi pendekatan sama,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama