KOTA KINABALU : Kira-kira 3,000 pengunjung menghadiri
Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) 2026 yang
berlangsung meriah sebagai platform penting dalam memelihara warisan budaya
negeri.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah
berkata, sambutan itu bukan sahaja mengekalkan tradisi masyarakat setempat,
malah turut menyumbang kepada perkembangan sektor pelancongan dan ekonomi
bandar raya.
"Pesta Kaamatan bukan sekadar perayaan menuai, tetapi
lambang kesyukuran, perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di
Sabah.
"Sambutan seperti ini amat penting bagi Bandaraya Kota
Kinabalu kerana ia memperkukuh warisan budaya, mengeratkan hubungan masyarakat
serta menyumbang kepada kemeriahan pelancongan dan ekonomi bandaraya,"
katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat
Bandaraya Kota Kinabalu 2026 di sini, pada Ahad.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Pembantu Menteri kepada
Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri
Panglima Hajiji Noor.
Dalam pada itu, Sabin turut merakamkan penghargaan kepada
Asian Pac Holdings Berhad dan pengurusan Imago Shopping Mall atas sokongan
sebagai rakan strategik utama dalam menjayakan sambutan berkenaan.
Beliau turut menghargai komitmen jawatankuasa penganjur,
warga kerja DBKK dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan program itu
berjalan lancar dan berjaya.
Sambutan berkenaan, dimeriahkan dengan pelbagai persembahan
kebudayaan termasuk Tarian Sambut Tamu serta acara simbolik 'Mongomot Parai'
atau menuai padi sebagai lambang tradisi dan warisan budaya masyarakat
Kadazandusun.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan
Makanan Malaysia, Datuk Chan Foong Hin; Ketua Pengarah DBKK, Datuk Sr Lifred
Wong dan Pengarah Asian Pac Holdings Berhad, Michael Mah.
