Cubaan seludup rokok tidak kesampaian di perairan Semporna

SEMPORNA: Cubaan menyeludup rokok tidak bercukai tidak kesampaian selepas berjaya digagalkan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam satu operasi di perairan Laut Balimbang, awal pagi tadi.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisoner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, kejadian kira-kira jam 4 pagi itu dikesan apabila sepasukan anggota PPM Semporna mengesan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan di kawasan perairan berkenaan.

Menurutnya, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, bot suspek bertindak melarikan diri sambil membuang beberapa objek ke laut bagi mengelak daripada ditahan.

“Bot berkenaan kemudian memasuki kawasan cetek di Laut Balimbang sebelum menuju ke arah Laut Tanjung Manimpa dan berjaya meloloskan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas objek yang dibuang menemukan dua karung guni berisi rokok dipercayai tidak bercukai.

“Sebanyak kira-kira 400 kotak rokok jenama LASA warna putih dirampas membabitkan anggaran 8,000 batang dengan nilai keseluruhan RM9,600,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan usaha mengesan suspek terlibat sedang dijalankan.

“Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan serta pelanggaran undang-undang negara,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama