Kosmetik bernilai RM360,000 disorok dalam feri dari Filipina dirampas

LAHAD DATU: Cubaan menyeludup masuk puluhan ribu produk kosmetik dipercayai dari Filipina terbongkar apabila sebuah feri ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah bersama Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu di perairan daerah ini, semalam.

Dalam operasi kira-kira jam 8.05 pagi itu, pemeriksaan menyeluruh dijalankan terhadap feri berkenaan sebelum menemui kira-kira 70 longgokan kotak mengandungi pelbagai jenis kosmetik tanpa dokumen sah.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, barangan berkenaan dipercayai dibawa masuk dari Bongao, Tawi-Tawi, Filipina menuju ke Lahad Datu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 24,176 unit pelbagai jenis kosmetik dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan RM360,986.

“Pemeriksaan lanjut mendapati semua barangan itu tidak mempunyai sebarang dokumen atau permit sah daripada Bureau of Customs Filipina.

“Rampasan kemudian dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ahmad Amri berkata, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Katanya, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempergiat operasi dan pemantauan di perairan negara bagi mengekang aktiviti penyeludupan serta kemasukan barang tanpa cukai yang boleh menjejaskan keselamatan dan ekonomi negara.

“Orang ramai diminta terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah dan penyeludupan kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama