Dalam kejadian kira-kira jam tujuh pagi itu, kemalangan melibatkan dua kenderaan Perodua Bezza dan sebuah Proton.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Edoen Macheal berkata enam anggota dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 25 kilometer dari balai selepas menerima panggilan kecemasan pada 7.01 pagi.
“Komander Operasi melaporkan terdapat 10 mangsa terlibat dengan beberapa daripadanya mengalami kecederaan termasuk seorang lelaki dewasa cedera parah,” katanya dalam satu kenyataan bomba, hari ini.
Menurutnya, tiga wanita dewasa yang menaiki Perodua Bezza merah mengalami kecederaan.
Sementara itu, sebuah lagi Perodua Bezza berwarna biru membawa enam mangsa iaitu dua lelaki dewasa, dua wanita dewasa dan dua kanak-kanak.
“Seorang lelaki dewasa mengalami kecederaan parah manakala seorang lagi cedera ringan.
“Dua wanita dewasa turut mengalami kecederaan ringan, manakala dua kanak-kanak tidak mengalami sebarang kecederaan,” jelasnya.
Tambahnya, pemandu Proton iaitu seorang lelaki dewasa dilaporkan selamat dan tidak mengalami kecederaan.
Pasukan bomba menjalankan tindakan awal dengan mengawal keadaan di lokasi serta memberi bantuan kepada mangsa sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.33 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.
