51 Mangsa Kebakaran Kg Titingan Hilang Tempat Tinggal

 

TAWAU: Seramai 51 mangsa daripada sembilan ketua isi rumah (KIR) kehilangan tempat tinggal dalam tragedi kebakaran di Kampung Titingan.

Kejadian yang berlaku di Blok 5 dan 6 itu memusnahkan tiga buah rumah mengakibatkan kerugian dianggarkan berjumlah RM20 ribu.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menyeru agar masyarakat lebih berhati-hati dan sentiasa peka kepada bahaya ketika melakukan sesuatu kerja atau pembangunan.

"Kejadian itu memberi pengajaran penting kepada semua agar lebih berhati-hati khususnya melibatkan aspek pendawaian elektrik, keselamatan dapur dan pembinaan rumah yang terlalu rapat antara satu sama lain.

"Api ini bila kecil kawan, bila jadi besar ia menjadi lawan dan musibah kepada semua yang terlibat, dari itu saya berharap kejadian ini menjadi pengalaman dan kesedaran kepada masyarakat supaya lebih berhati-hati pada masa akan datang," katanya ketika ditemui media dalam lawatan beliau ke tapak kebakaran, pada Sabtu.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan pihak yang terlibat dalam operasi bantuan antaranya bomba komuniti Kg Titingan yang bertindak awal mencegah kebakaran dari terus merebak.

"Saya ingin memuji bomba komuniti Kg Titingan yang bertindak awal mencegah kebakaran sebelum bantuan dari pihak bomba.

"Selain itu saya juga difahamkan bomba komuniti Kg Titingan turut membantu di kawasan Apas lain seperti Balung dan Tanjung Batu. Pengalaman dan inisiatif seperti ini perlu ada di setiap kampung khususnya kawasan berisiko.

"Saya menyeru agar lebih banyak penubuhan bomba komuniti di kampung-kampung berisiko kebakaran bagi meningkatkan kesiapsiagaan penduduk serta mengelakkan kebakaran besar daripada terus berulang," ujarnya.

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas memaklumkan beliau sudah pun mencadangkan agar penyediaan pili bomba di kawasan berisiko dalam mesyuarat tindakan daerah namun memerlukan penelitian lanjut kerana melibatkan kos peruntukan yang besar.

“Kita berharap pihak bomba dan pihak berkuasa tempatan dapat membawa perkara ini ke peringkat lebih tinggi supaya pili bomba dapat diwujudkan di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi seperti Kampung Titingan,” katanya lagi.

Dalam lawatan itu, beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi berbentuk wang tunai serta bantuan barangan daripada Yayasan Petronas yang disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Tawau kepada mangsa kebakaran.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama