NABAWAN : Keselamatan negara
merupakan tanggungjawab bersama yang perlu digalas bagi mengekalkan keamanan.
Pesuruhjaya Polis, Datuk Jauteh
Dikun menegaskan keselamatan negara bukan saja tanggungjawab pihak berkuasa,
malah merupakan amanah bersama seluruh lapisan masyarakat.
"Nabawan dipilih sebagai
antara lokasi Program Community Policing memandangkan kedudukannya yang
strategik berhampiran sempadan Indonesia, sekaligus menjadikannya kawasan yang
memerlukan kesedaran keselamatan yang tinggi dalam kalangan penduduk tempatan.
"Kerjasama masyarakat amat
penting dalam membantu pihak berkuasa membendung jenayah rentas sempadan,
penyeludupan dadah, penipuan dalam talian serta pelbagai ancaman keselamatan
lain yang boleh mengganggu ketenteraman awam," katanya ketika merasmikan
majlis penutupan program berkenaan yang diadakan di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, menyentuh
mengenai kemajuan pesat yang sedang dikecapi Nabawan terutamanya dalam aspek
infrastruktur seperti pembangunan jalan raya dan capaian internet yang semakin
baik, Jauteh mengingatkan kemajuan fizikal perlu seiring dengan kematangan
komuniti dari segi kesedaran keselamatan.
"Utamakan keselamatan jalan
raya, termasuk memakai topi keledar ketika menunggang motosikal serta
menggunakan internet dan media sosial secara berhemah bagi mengelakkan diri
daripada terjebak dalam jenayah siber," ujarnya.
Pelbagai aktiviti kemasyarakatan
dan interaktif diadakan sepanjang program tiga hari itu yang bermula sejak 22
Mei antaranya gotong-royong membersihkan Masjid Al-Hidayah, Gereja St. Bede
Nabawan serta tapak perkuburan Islam dan bukan Islam di Kampung 2 Nabawan,
derma darah dan pemeriksaan kesihatan, demonstrasi oleh Jabatan Bomba dan
Penyelamat Malaysia dan Jabatan Pertahanan Awam.
Selain itu, pameran agensi,
pertandingan karaoke, sukaneka, wayang pacak dan sketsa, cabutan bertuah dan
mini forum serta pelancaran rasmi Penubuhan Sukarelawan BOMBA Nabawan.
Turut hadir ialah Yang Dipertua
Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, Ahli Dewan Undangan Negeri Nabawan, Datuk
Abdul Ghani Mohamed Yassin, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan
Komuniti Sabah, Datuk Mohd. Azhar Hamin, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba,
Mohd. Pisar Aziz, Pegawai Daerah Nabawan, Marshal Anthony @ Idham dan Ketua
Polis Daerah, Yampil Garai.
