KOTA KINABALU : Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota
Kinabalu bakal dikenali dengan nama baharu.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Wira Dr. Asyraf
Wajdi Dusuki berkata, tarikh pemasyhuran nama baharu berkenaan akan diumumkan
selepas mendapat persetujuan rasmi daripada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa
Aman.
"Kunjungan hormat pada hari ini adalah untuk
menyampaikan hasrat kami secara rasmi bagi mendapatkan persetujuan Tun Musa,
setelah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pernah
mengisytiharkan untuk menamakan dan memasyhurkan MRSM Kota Kinabalu dengan nama
Tun Musa Aman.
"Kunjungan ini juga adalah bagi mendapatkan persetujuan
daripada Tun Musa supaya pemasyhuran itu dapat disegerakan.
"Alhamdulillah, Tun Musa amat berbesar hati menerimanya
dengan penuh rasa penghargaan dan pemasyhuran dijangka akan diadakan dalam masa
terdekat," katanya ketika ditemui media selepas kunjungan hormat terhadap
Tun Musa di Istana Seri Kinabalu, pada Isnin.
Beliau berkata, nama rasmi baharu MRSM itu akan dimaklumkan
oleh pejabat Yang di-Pertua Negeri Sabah dalam masa terdekat.
Terdahulu, Tun Musa turut menerima kunjungan hormat Pengarah
Urusan WCT Berhad, Ir Anthony Teoh.
Anthony ketika ditemui media memaklumkan tujuan kunjungan
berkenaan adalah bagi mengemukakan beberapa cadangan pembangunan kepada Tun
Musa termasuklah dalam sektor bekalan air dan dan lapangan terbang.
