Bekas penyelia GLC aibkan pelatih wanita didenda RM10,000

Bekas penyelia GLC negeri didenda RM10,000 atau penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret Tawau selepas didapati bersalah mengaibkan kehormatan seorang wanita, dua tahun lalu. Foto | SS.

TAWAU: Padah mengemukakan pertanyaan berunsur seksual dan lucah terhadap seorang pelatih wanita universiti di bawah seliaannya, seorang bekas penyelia syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Yusran Yusuf, 36, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan semua elemen penting pertuduhan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan melampaui keraguan munasabah.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara dua tahun sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengaibkan kehormatan seorang pelatih wanita di bawah seliaannya dengan mengemukakan beberapa pertanyaan berunsur lucah termasuk sama ada mangsa masih dara, pernah menonton video lucah serta melakukan masturbasi.

Kesalahan itu didakwa dilakukan berhampiran sebuah ladang di Merotai Besar, antara jam 3 hingga 4 petang, pada 4 September 2024.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Dayang Aidaku Amira berkata mahkamah berpuas hati bahawa perkataan yang diucapkan tertuduh sememangnya ditujukan kepada pengadu dan dimaksudkan untuk didengari olehnya.

Katanya, keterangan pengadu jelas menunjukkan tertuduh mengemukakan beberapa pertanyaan bersifat peribadi, seksual dan lucah yang menjurus kepada privasi selain mengganggu serta menjatuhkan maruah mangsa.

“Mahkamah mendapati sifat pertanyaan itu secara terang-terangan berbentuk seksual, bersifat peribadi, menyentuh kesantunan seorang wanita serta tidak boleh dianggap sebagai perbualan biasa di tempat kerja.

“Pertanyaan sama ada pengadu masih dara, pernah menonton video lucah dan pernah melakukan masturbasi tidak boleh secara munasabah dikategorikan sebagai perbualan biasa atau tidak memudaratkan.

“Pertanyaan sedemikian jelas berupaya mengaibkan kehormatan pengadu sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan,” katanya.

Menurut beliau lagi, pembelaan tertuduh bahawa perbualan itu hanya berkaitan topik ‘friends with benefit’ gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

“Walaupun topik itu mungkin timbul lebih awal dalam perbualan, ia sama sekali tidak menghalalkan pertanyaan yang begitu intim dan menjatuhkan maruah pengadu.

“Mahkamah juga mendapati penjelasan pembelaan itu bersifat self-serving serta tidak memadai untuk menangkis keterangan langsung yang dikemukakan pengadu, selain berpuas hati bahawa pengadu adalah saksi yang kredibel apabila keterangannya kekal konsisten terhadap perkara material sepanjang prosiding perbicaraan,” katanya.

Beliau berkata, selepas membuat penilaian maksimum terhadap keseluruhan keterangan selaras Seksyen 182A Kanun Tatacara Jenayah, mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wildan Firdaus Ahmad Fazly, manakala tertuduh diwakili peguam Noorhaidah @ Nasra Abd Raup.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama